KKBS anjur majlis khatam Al-Quran dalam talian

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan kumpulan belia-belia Negara Brunei Darussalam hari ini mengadakan majlis khatam Al-Quran 30 Juzuk sempena bulan Ramadan yang dilaksanakan secara berasingan di pejabat masing-masing.

Majlis berlangsung di Dewan Citra Budaya, di Bangunan KKBS.

Majlis ini juga diungkayahkan bersempena memperingati peristiwa Nuzul Al-Quran di mana kitab suci Al-Quran mula diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat sebagai petunjuk dan keterangan serta menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang batil bagi sekalian manusia.

Pada tahun ini dengan mengambil kira situasi pandemik COVID-19 dan sebagai langkah berjaga-jaga, acara khatam Al-Quran tersebut dilaksanakan di setiap jabatan dan secara individu bagi para belia dengan secara serentak melalui kaedah penggunaan pembesar suara (speaker) dalam bangunan, penstriman secara langsung melalui platform digital seperti Facebook,Instagram, Microsoftteam dan Zoom.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, diikuti dengan bacaan Doa Khatam dan Doa Perlindungan daripada wabak COVID-19 oleh tenaga pengajar Al-Quran, Jabatan Belia dan Sukan, Awang Haji Abdul Halim bin Mohd Fuad, dan seterusnya bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh tenaga pengajar di Pusat Pembangunan Belia (PPB), Awang MuhammadKhaizuran Amali bin Awang Haji Kamsani.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, Pengiran Haji Mohammad Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan), Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said; pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, warga KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya, dan juga belia-belia daripada Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Pusat PPB dan Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT).

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika menghadiri majlis khatam Al-Quran 30 Juzuk sempena bulan Ramadan secara dalam talian.
Antara yang mengikuti majlis khatam Al-Quran KKBS melalui aplikasi Zoom.