Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN 23 MEI – Dengan matlamat melahirkan golongan belia tanah air yang berkemahiran dalam bidang seni taranum Al-Quran, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Bahagian Belia telah menganjurkan Program Kemahiran Ilmu Al-Quran (KIA) yang berlangsung di Dewan Silaturahim, Pusat Belia, baru-baru ini.
Sebagai fasa awal, program berkenaan hanya dibukakan kepada peserta qari dan qariah yang berjaya memasuki peringkat separuh akhir Musabaqah Tilawatil Al-Quran Belia Kebangsaan 1443H/2022M kerana terdapatnya pengenalan format baharu lagu wajib dalam penilaian pertandingan.
Menurut kenyataan yang diberikan, menerusi program yang dijalankan secara fizikal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan, para peserta telah berpeluang menyertai bengkel intensif selama dua jam yang dikendalikan oleh tenaga-tenaga pengajar Al-Quran yang berpengalaman dan berkemahiran sama ada dalam bidang tajwid, fasahah, suara dan lagu mengikut bidang masing-masing.
Dengan perlaksanaan bengkel tersebut, ia secara tidak langsung sebagai salah satu pencetus semangat juang para peserta dalam membuat persiapan pertandingan untuk sama-sama meningkatkan kemampuan pembacaan pada tahap yang bermutu tinggi sejajar dengan format sudut penilaian penghakiman di peringkat belia kebangsaan dan bahagian dewasa kebangsaan.
Pada tahun ini, seramai 30 peserta akan memperdengarkan bacaan masing-masing pada peringkat separuh akhir yang akan diadakan pada 29 Mei ini dan seterusnya lima peserta qari dan lima peserta qariah termasuk johan menunggu qari dan qariah 2021 akan bertanding di peringkat akhir nanti.
Secara amnya, program berkenaan adalah sebagai salah satu inisiatif jabatan dalam mempersiapkan belia-belia khususnya para qari dan qariah di negara ini untuk mencapai peningkatan yang lebih tinggi dari semasa ke semasa, lebih-lebih lagi menerusi inisiatif beberapa penganjuran tahunan musabaqah tilawatil Al-Quran belia sama ada di pe-ringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.