KKBS bertahlil di Kubah Makam Diraja

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Bersempena dengan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) yang disambut setiap 3 Disember, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat dengan kerjasama Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) yang terdiri daripada sembilan buah persatuan di bawahnya hari ini mengadakan Majlis Tahlil di Kubah Makam Diraja bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

Antara persatuan-persatuan yang menyertai majlis tersebut ialah Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Persatuan PAPDA, SMARTER, KACA, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNAB), Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan (OKP); Learning Ladders Society dan Persatuan Sindrom Down dan Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD).

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd Amin bin Haji Salim.

Tema sambutan HAOKU pada tahun ini ialah Memperkasa Golongan OKU dan Mempromosikan Penglibatan OKU Khususnya dalam Merealisasikan Agenda Pembangunan 2030.

Acara kemuncak bagi sambutan HAOKU ialah Bengkel Promosi Penglibatan Orang Kelainan Upaya dalam Perkembangan Masyarakat yang akan diadakan pada bulan Januari 2020.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menghadiri majlis tersebut.