Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan KKBS
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Bagi meningkatkan akses perkhidmatan sosial kepada golongan yang terdedah di negara ini khususnya anak-anak yatim, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah menandatangani perjanjian dengan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) bagi program biasiswa anak yatim.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan majlis penandatanganan yang berlangsung di VIP Lounge, Tingkat 1, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hari ini, ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Menandatangani bagi pihak KKBS ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari manakala itu, BIBD diwakili oleh Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan KKBS, di bawah program berkenaan, dua orang anak yatim terpilih diperuntukkan setiap tahun untuk mengikuti Program BIBD ALAF, bermula dengan sesi kesembilan bagi tahun persekolahan 2021/2022, mengikut terma dan syarat kelayakan yang ditetapkan oleh JAPEM dan BIBD.
Penerima-penerima biasiswa bagi tahun ini ialah Dayang Norhayati binti Abdullah Ahmad, pelajar Tahun 7 di Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Serasa, dan Awang Mohammad Noorshahadriyaan bin Shahrin yang merupakan pelajar Tahun 7 di Sekolah Menengah Masin.
Pemberian biasiswa berkenaan merupakan salah satu inisiatif pihak kerajaan untuk melihat pelajar-pelajar yang mengikuti Program BIBD ALAF akan berjaya dalam pelajaran dan seterusnya menjadi insan yang dapat membantu dan meningkatkan lagi taraf kehidupan keluarga mereka dan terkeluar dari jaringan kemiskinan.
Dengan menggunakan dana daripada Tabung Anak-anak Yatim di bawah JAPEM yang bersumberkan sumba-ngan daripada orang ramai, program berkenaan akan memberikan biasiswa kepada anak-anak yatim yang terpilih untuk disalurkan di bawah Program BIBD ALAF iaitu sebuah program anjuran BIBD.
Ini selaras dengan salah satu objektif penubuhan Tabung Anak-anak Yatim iaitu untuk memberikan bantuan sokongan tambahan kepada kesejahteraan dan kebajikan anak-anak yatim yang memerlukan terutama dari segi pendidikan.
Hajah Nor Ashikin dalam ucapan alu-aluannya berkata, kriteria pemilihan pelajar bagi mengikuti program itu diselaraskan dengan kriteria pemilihan di bawah BIBD ALAF, dengan tambahan, di mana pelajar yang disokong adalah terdiri dari anak yatim yang berdaftar dengan JAPEM dan penerima Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB), JAPEM.
Menurutnya, objektif program adalah untuk memberikan bantuan sokongan tambahan kepada kesejahteraan dan kebajikan anak-anak yatim yang memerlukan terutama dari segi pendidikan, agar mereka terkeluar daripada kitaran kemiskinan.
Program diharapkan akan dapat menyahut seruan negara dalam usaha bersepadu secara whole-of-government dan whole-of-nation, untuk meringankan bebanan anak-anak yatim khususnya penjaga mereka dari segi perbelanjaan, dimana keperluan belajar dalam norma baharu pada masa kini, adalah lebih menjurus kepada pembelajaran dalam talian.
Beliau seterusnya berkongsi mengenai salah satu usaha dalam hasrat mencapai revolusi Perindustrian 4.0 dan dalam menerapkan kemajuan teknologi digital di mana KKBS melalui JAPEM akan memperkenalkan kaedah baharu pendaftaran anak yatim secara dalam talian pada tahun ini.
“Pendaftaran bukan saja akan menjadi platform bagi memudahkan masyarakat membuat pendaftaran dan pengemaskinian anak yatim secara dalam talian, malah ia dihasratkan untuk menghasilkan pangkalan data yang boleh dijadikan sandaran bagi lebih banyak program yang bertepatan dengan keperluan anak-anak yatim,” jelasnya.
Hajah Nor Ashikin mengongsikan bahawa setakat Disember 2021, seramai 4,001 orang anak yatim, terdiri daripada 2,094 orang lelaki dan 1,907 orang perempuan, telah berdaftar dengan JAPEM di seluruh negara.
Sementara itu, Hajah Noraini dalam ucapannya pula berkata, dengan penandatangan perjanjian itu, BIBD sangat berbesar hati atas sokongan dan bantuan tajaan KKBS di mana dua orang penuntut yang berdaftar di bawah jagaan Kementerian akan menerima biasiswa dan diserapkan ke dalam program ALAF.
“Biasiswa ini akan meliputi kesemua keperluan pelajar yang diperuntukkan dalam program ini antaranya bantuan dari segi alat-alat tulis sekolah, yuran sekolah dan tuisyen dan program-program pemerkasaan kepimpinan dan lain-lain,” jelasnya.
Beliau berkata, sejak penubuhannya, program ALAF telah banyak memberi impak dan peluang-peluang pem-belajaran yang lebih efektif dan berkesan kepada para pelajar dan telah membantu menaiktaraf kualiti keputusan peperiksaan mereka dan juga melahirkan pelajar yang berpengetahuan yang dilengkapi dengan kemahiran yang sesuai dengan permintaan industri.