Oleh Salawati Haji Yahya & Yusrin Junaidi
Gambar Rahwani Zahari
BANDAR SERI BEGAWAN 28 Jun – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya tidak ketinggalan memeriahkan bulan Syawal dengan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang juga diselajurkan dengan penyampaian sijil dan cenderamata kepada 32 orang pegawai dan kakitangan kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya yang telah bersara pada 2017.
Majlis yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas itu dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang seterusnya menyampaikan cenderamata dan sijil kepada para pesara.
Setiausaha Tetap di KKBS, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dalam ucapannya semasa majlis itu melahirkan rasa terima kasih atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh pesara semasa bertugas di kementerian berkenaan yang merupakan peneraju bagi persatuan-persatuan bukan kerajaan dan kesukarelawanan yang pelbagai jurusan dan sektoral.
Beliau seterusnya berharap semoga pesara akan terus dapat menyumbang dan menabur bakti serta berkongsi pengalaman terutamanya dengan para belia bagi sama-sama membangun dan mendukung wawasan negara.
Majlis sambutan berkenaan adalah sebagai tanda syukur sebagai Muslimin setelah menjalankan ibadah puasa dan kejayaan warga KKBS dalam mengelolakan pelbagai acara keagamaan dan program-program yang bermanfaat bagi belia dan masyarakat sepanjang bulan Ramadan.
Langkah KKBS meluaskan jangkauan Sambutan Hari Raya adalah manifestasi pengekalan amalan kunjung-mengunjungi dalam masyarakat.
Antara yang hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Persatuan Orang Kelainan Upaya (OKU), Pusat Kegiatan Warga Emas, Alumni Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Alumni Pusat Pembangunan Belia dan persatuan-persatuan belia dan sukan di seluruh daerah yang memperlihatkan kejituan hubungan keluarga besar KKBS.
Majlis berkenaan merupakan salah satu kegiatan sosial berkebajikan yang diharapkan dapat mewujudkan keharmonian dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan warga kerja terutamanya pegawai dan kakitangan kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis seumpama ini juga dapat membantu menerapkan nilai-nilai yang lebih positif dalam hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga KKBS.
Salah seorang Alumni PKBN yang ditemui pada majlis berkenaan, Awang Muhd Mohsin bin Mohd Noor rasa beruntung kerana sejak memasuki PKBN, beliau telah banyak mendapat ilmu dan natijah yang baik dan bermanfaat sehingga menjadi ahli Persatuan Alumni PKBN.
Beliau bersama rakan-rakan bertekad untuk menjadi belia yang berguna, berkhidmat dan berbakti untuk raja, masyarakat, agama, bangsa dan negara serta berbangga sebagai ahli Persatuan Alumni PKBN.
Manakala itu, Haji Sohaili bin Haji Mohidi bagi mewakili Kesatuan Ibu Bapa Alumni PKBN7 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengarah dan kakitangan Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN) yang memberi banyak kesempatan untuk terus beraktiviti menaikkan moral dan jati diri anak-anak lepasan PKBN berserta para ibu bapa.
Beliau turut menyeru para ibu bapa agar memberi sokongan bagi menggalakkan para belia mengikuti latihan dalam PKBN yang akan mula dibuka pada Disember akan datang sebagai wadah penerapan etika dan disiplin dalam membentuk sahsiah dan rohaniah belia berwawasan.
Tambahnya, keramahan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga menjadi penyuntik semangat untuk terus komited dalam apa jua kegiatan atau program yang boleh diikuti oleh para alumni PKBN bersama ibu bapa sebagai sukarelawan dan amal bakti kepada masyarakat.