KKBS terima sumbangan penutup mulut dan hidung fabrik

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Peradian Brunei, sebuah rangkaian komuniti yang terdiri daripada FERA Health & Nursing Care Sdn Bhd, Project Big BWN, Kunyit Lodge dan Rasimoon Adinin telah menyumbangkan sebanyak 4,000 keping penutup mulut dan hidung jenis fabrik kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Sumbangan berkenan telah disampaikan pada majlis yang diadakan di Bangunan KKBS, hari ini, di mana hadir menerima sumbangan tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Hadir menyampaikan sumbangan ialah Dayang Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain dari FERA Health & Nursing Care Sdn Bhd dan Awang Muhammad Rasimoon bin Haji Adinin.

Pembuatan penutup mulut dan hidung fabrik tersebut merupakan projek kerjasama antara Peradian Brunei dan Pusat Pembangunan Belia (PPB) dengan tujuan untuk mengurangkan pemakaian penutup mulut dan hidung jenis pakai buang dan untuk menyokong usaha Kementerian Kesihatan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini serta menjaga alam sekitar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pembuatan penutup mulut dan hidung berkenaan adalah hasil sumbangan daripada pihak individu dan badan-badan korporat.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menerima sumbangan berupa penutup mulut dan hidung jenis fabrik dari rangkaian komuniti Peradian Brunei.

Sebanyak 15 buah kedai jahit di bawah Program PPB telah terlibat dalam menghasilkan penutup mulut dan hidung berkenaan.

Penghasilannya telah bermula sejak Mei lalu dengan sokongan para pelatih dari pusat berkenaan dan juga pihak KKBS.

Manakala itu, tutorial pembuatan penutup mulut dan hidung pula diberikan oleh Dayang Sila dari Petticoat Boutique dan Dayang Siti Nadzirah Haji Abdullah dari Gaia Boutique.

Sebagai tambahan, Peradian Brunei juga membayar sebanyak $1 bagi setiap penutup mulut dan hidung yang dihasilkan kepada tukang-tukang jahit.

Inisiatif berkenaan merupakan salah satu projek Community Outreach di mana sebanyak $3,843 telah dibayar kepada tukang jahit masing-masing.

Dengan adanya sumbangan berkenaan, Peradian Brunei berharap pihak kerajaan akan dapat menjalankan tugas masing-masing dengan lebih selesa dan selamat.

Sehubungan dengan itu, sebagai persiapan pembukaan sekolah, penutup mulut dan hidung jenis fabrik juga diagihkan kepada para ibu bapa untuk anak-anak mereka untuk keselamatan dan kemaslahatan anak-anak mereka.

Inisiatif pengagihan itu nanti juga disokong oleh YMRM Enterprise dan Galleria dan D Euro Fabrics Brunei.

Majlis juga diteruskan dengan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengagihkan sumbangan berkenaan kepada Pusat Bahagia yang diwakili oleh Dato Paduka Haji Mohd Alimin bin Haji Abdul Wahab, wakil Warga Emas, Dayang Atiqah binti Ibrahim, wakil Pusat Penjagaan Kanak-kanak, Dayang Siti Zahrah binti Haji Abdul Razak dan Kompleks Rumah Kebajikan yang diwakili Dayang Noryani binti Abdul Rani.