Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    KKBS, UBD jalin kerjasama

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Beberapa bidang kerjasama telah dimeterai oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada majlis yang diadakan di Dewan Digadong, KKBS, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Selain untuk menambah rangkaian kerjasama rakan-rakan strategik, MoU itu juga merupakan salah satu usaha mendukung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terutama melaksanakan pendekatan whole of nation untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

    Menandatangani MoU bagi pihak KKBS ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus.

    Manakala bagi pihak UBD Naib Canselor, Dr Hazri bin Haji Kifle dan Penolong Naib Canselor (Korporat dan Pentadbiran), Dayang Rubiah binti Haji Yacub.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selepas menyaksikan majlis penandatanganan MoU tersebut.
    Antara yang hadir semasa majlis berkenaan

    Menurut Hajah Nor Ashikin, antara bidang kerjasama itu termasuk pertukaran idea-idea, lawatan dan maklumat dalam hal yang berkaitan, pelaksanaan kajian penyelidikan, pemeliharaan, penerbitan dan pendokumentasian, akses kepada bahan, sumber perpustakaan, penggunaan fasiliti, pembentukan teknologi digital, perisian maklumat dan inovasi.

    Di bawah MoU itu juga akan dijalankan kerjasama dalam program peningkatan kapasiti dan penempatan kerja atau industri mengikut keperluan, program-program kebeliaan, kemasyarakatan dan sosial dalam meningkatkan kemandirian; mengadakan aktiviti pembangunan sosioekonomi melalui keusahawanan, dan kerjasama dalam bidang-bidang lain yang dipersetujui bersama oleh kedua-belah pihak.

    “Maka melalui MoU seumpama ini akan mengukuhkan lagi kerjasama strategik antara KKBS dengan institusi-institusi pendidikan tinggi awam dan swasta tempatan dalam bidang-bidang tertentu dan juga selaras dengan salah satu objektif strategik yang terkandung di dalam Pelan Strategik KKBS 2020-2024 iaitu ‘Meningkatkan Kerjasama Strategik Melalui Pendekatan Seluruh Negara’.

    Beliau yakin dengan adanya penggemblengan kerjasama, usaha sama dan tenaga dengan institusi-institusi pengajian tinggi ini akan meningkatkan lagi usaha-usaha pihak kementerian dalam melaksanakan mandatnya sebagai jentera kerajaan yang melestarikan dan memartabatkan bahasa, budaya dan khazanah negara serta melahirkan atlet yang cemerlang dan  mewujudkan masyarakat yang pemedulian berwawasan dan berdaya tahan.

    Turut hadir pada majlis itu ialah setiausaha-setiausaha tetap, pemangku timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan dari KKBS dan juga pegawai-pegawai kanan dari UBD.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...