PUTATAN, 12 Feb – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan RM271.6 juta bagi pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara tahun ini yang akan memberi manfaat kepada 16,547 ketua isi rumah.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata melalui peruntukan itu, sebanyak 608 unit PPRT adalah yang dibina baharu manakala selebihnya 5,521 unit lagi adalah untuk dibaik pulih.
Katanya daripada jumlah peruntukan berkenaan, RM65,998,800 adalah untuk projek PPRT di Sabah melibatkan 252 unit bina baharu dengan kos RM17,110,800 dan 3,259 unit lagi dengan kos RM48,888,000 adalah baik pulih.
“Untuk projek PPRT 2018, kita dah mulakan dengan segera. Semua mesti disiapkan sebelum akhir tahun 2018. Kalau projek baik pulih, kita harap (sebuah rumah) boleh siap dalam sebulan. Kadang-kadang rumah yang perlu kita baik pulih itu biasanya teruk seperti atap bocor. Jadi kita tidak boleh tunggu lama.
“Sebaik sahaja kerja dianugerahkan, projek mesti disiapkan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kunci tiga buah rumah PPRT kepada tiga penerima di Kampung Muhibah di sini hari ini.Turut hadir Ketua Setiausaha KKLW Datuk Borhan Dolah.
Setiap rumah yang dilengkapi tiga buah bilik, bilik mandi, bilik air, dapur dan ruang tamu itu bernilai RM68,000.
Menurut Ismail Sabri, antara tahun 2014 hingga 2017, KKLW telah membina 12,552 unit PPRT dengan 3,936 unit adalah bina baharu manakala 8,616 unit lagi adalah baik pulih dengan kos RM321,492,000 dan telah memberi manfaat kepada 43,080 ketua isi rumah.
“Dari segi projek PPRT (2018) ini , tidak ada istilah terbengkalai. Sekarang ini, KKLW telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama antara KKLW dengan kerajaan negeri Sabah. Jadi setiap projek yang dirancang akan dibincangkan bersama dan pemantauan dibuat secara bersama. Kalau timbul masalah, kita selesaikan bersama,” katanya. – Bernama