KKM bakal saring 30,000 individu di daerah Tawau dan Lahad Datu

TAWAU, 24 SEPT – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meningkatkan saringan COVID-19 dalam komuniti secara besar-besaran melibatkan dua daerah di Sabah iaitu Tawau dan Lahad Datu, kata menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan 30,000 individu disaring berikutan penularan wabak tersebut dalam komuniti di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Kita laksanakan saringan ini kerana berlaku penularan dalam komuniti selain di penjara atau lokap.

“Setakat ini, KKM menyaring 10,389 individu di Lahad Datu, Tawau serta Sandakan membabitkan Kluster Benteng, selain saringan terhadap 128 individu berkaitan Kluster Udin di Tawau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan kerja ke Tawau hari ini. – Bernama