Sunday, January 29, 2023
23 C
Brunei

-

KKM bimbang penjualan ‘Tiger Pod’ semakin berleluasa

KUALA LUMPUR, 25 JAN – Kementerian Kesihatan (KKM) terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, universiti awam dan swasta serta badan bukan kerajaan dalam aktiviti advokasi dan pencegahan bagi memastikan pendidikan berkaitan bahaya merokok disebarkan secara meluas kepada masyarakat.

Menteri berkenaan Dr Zaliha Mustafa berkata ini kerana KKM mengambil berat dan kesal berhubung isu penjualan produk rokok elektronik atau vape di hadapan sebuah sekolah yang tular baru-baru ini.

Beliau berkata KKM juga mendapat maklumat, aktiviti mempromosi, pengiklanan dan penjualan rokok elektronik atau vape yang menyerupai permainan kanak-kanak atau ‘Tiger Pod’ yang kini semakin berleluasa.

“Perkara itu sangat membimbangkan kerana produk itu direka sehingga menarik perhatian kanak-kanak dan remaja untuk menggunakannya, malah produk vape tersebut menggunakan cecair bernikotin yang penjualannya dikawal di bawah Akta Racun 1952.

“Pengedaran dan pembekalan sebarang persediaan mengandungi nikotin memerlukan pendaftaran dan kelulusan sebagai ubat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah di bawah peruntukan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Akta Jualan Dadah 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menyedari bahawa Akta Racun 1952 tidak mempunyai peruntukan terhadap larangan aktiviti promosi dan pengiklanan cecair rokok elektronik atau vape, beliau berkata peruntukan tersebut telah dimasukkan di bawah Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang bertujuan mengawal selia penghasilan produk tersebut.

Selain itu, Dr Zaliha berkata penyelesaian terhadap penjualan produk yang membahayakan kesihatan generasi muda seperti ‘Tiger Pod’, memerlukan kerjasama pelbagai pihak seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan yang lain.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa pengusaha-pengusaha vape haruslah mengambil sikap kebertanggungjawaban yang tinggi dalam menghasilkan produk mereka.

“Ibu bapa juga diminta untuk terus memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dalam amalan yang boleh merosakkan kesihatan mereka,” katanya. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea S sokong hantar bantuan kepada Korea U

SEOUL, 27 JAN – Kerajaan Korea Selatan hari ini berkata bahawa ia akan membantu usaha orang awam untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Korea Utara...
- Advertisment -