KKM kaji keperluan buka PKRC di pulau, pedalaman Sabah

PUTRAJAYA, 22 OKT – Kementerian Kesihatan (KKM) masih mengkaji ke-perluan untuk membuka Pusat Rawatan dan Kuarantin berisiko rendah (PKRC) di kawasan pulau serta pedalaman di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya perlu membuat penilaian risiko dan mengkaji kepadatan sesuatu kawasan serta jumlah penduduk yang terlibat sebelum mengambil keputusan membuka PKRC.

“Kalau jumlah yang terlibat ramai mungkin kita (KKM) akan pertimbangkan tetapi kita perlu lihat isu logistik juga.

“Setakat ini KKM masih mengkaji dan kalau ada keperluan, Insya-Allah akan dilaksanakan,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini. Dr Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan aktivis yang meminta PKRC dibuka di kawasan pulau dan pedalaman Sabah sebagai langkah penyelesaian terhadap penduduk yang kurang pengetahuan terhadap COVID-19.

Semalam, Dr Noor Hisham berkata cabaran terbesar yang dihadapi petugas KKM dalam mengekang penularan COVID-19 di Sabah ialah terpaksa meredah hutan tebal bagi menjalankan pengesanan kontak.

Ini kerana, kebanyakan penduduk di kawasan pedalaman negeri itu bertindak melarikan diri apabila melihat pihak berkuasa datang ke kampung mereka bagi menjalankan ujian saringan COVID-19.

Menurut Dr Noor Hisham, keadaan itu berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan kesedaran tentang pandemik tersebut dalam kalangan komuniti berkenaan. – Bernama