KKM kaji ubat-ubatan lain rawat pesakit COVID-19

KUALA LUMPUR, 9 SEPT – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji penggunaan ubat-ubatan selain Baricitinib untuk merawat pesakit COVID-19, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Hishamshah Mohd Ibrahim.

Bercakap pada sesi dialog Sidang Kemuncak Pemulihan Negara hari ini, Dr Hishamshah berkata ubat-ubatan itu akan menjadi sebahagian daripada kumpulan ubat yang kini digunakan untuk merawat pesakit COVID-19 dalam kategori kritikal.

“Ia menjadi satu cabaran pada kita. Bagaimanapun Malaysia telah secara aktif terlibat dalam banyak ujian klinikal untuk rawatan COVID-19 dan telah mengambil bahagian dalam Ujian Solidariti untuk Rawatan COVID-19 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kita juga sedang menggunakan Baricitinib, sejenis ubat baharu dan kita sedang mengkaji penggunaan ubat-ubatan lain yang mungkin akan mendapat kebenaran penggunaan di bawah Kebenaran Penggunaan Kecemasan (EUA) dalam masa terdekat, serta kita sedang berbincang mengenai perkara itu dengan pihak pengeluar,” katanya pada sidang yang diadakan secara maya itu, anjuran Institut Strategik Bagi Asia Pasifik KSI.

Sementara itu, Dr Hishamshah berkata KKM sedang meneliti kaedah untuk memudahkan golongan B40 mendapatkan kit ujian pantas antigen COVID-19.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan akan terus menyemak semula harga kit ujian kendiri itu bagi menjadikan kit tersebut mampu dimiliki semua pihak.

Minggu lepas kerajaan menetapkan harga siling kit ujian pantas antigen COVID-19 pada RM19.90 setiap set dan harga borong RM16 setiap set, berkuat kuasa 5 Sept lepas. – Bernama