KKM nafi lambat bertindak

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Kementerian Kesihatan (KKM) menyangkal dakwaan pihaknya lewat bertindak dalam membantu mangsa kes pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang, Johor.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya telah mula memberikan bantuan rawatan kepada mangsa terlibat sejak hari pertama kejadian pada 7 Mac lepas.

“KKM sudah mula bertindak sejak hari pertama, saya juga menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sejak hari pertama untuk merangka gerak kerja bersama.

“Isu KKM lewat tidak benar sama sekali kita sentiasa memberi rawatan kepada pesakit,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Dr Dzulkefly turut menafikan spekulasi bahawa terdapat mangsa yang meninggal dunia akibat pencemaran bahan kimia itu tersebut.

“Para pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga berada dalam keadaan stabil, tiada yang membahayakan, kami yakin boleh menguruskannya dengan baik dan tidak sampai tahap menyebabkan kematian.” – Bernama