KKM siasat gula-gula ‘Ghost Smoke’

PETALING JAYA, 22 JULAI – Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan Kementerian Kesihatan (KKM), telah memulakan siasatan dan penguatkuasaan berhubung penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ di seluruh negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya sedang menyiasat perkara itu secara menyeluruh dan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Ia (penjualan gula-gula Ghost Smoke) adalah sesuatu yang mengejutkan dan cara ia dipasarkan dalam kalangan pelajar sekolah.

“Perkara ini sudah kita perhatikan dan akan mengambil tindakan segera. Kita tidak akan membenarkannya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Neuropsychiatry Masterclass 2019 di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Gula-gula itu didapati dijual secara berleluasa di daerah Papar, Sabah, yang dibeli pelajar sekolah dan selain Papar, gula-gula berkenaan juga ada dikatakan dijual secara berleluasa di daerah lain termasuk di Kota Kinabalu, kebanyakannya dibawa dari luar sekolah oleh murid.

Ditanya dari manakah datangnya sumber gula-gula berkenaan, Dr Dzulkefly berkata beliau belum mendapat laporan dan masih menunggu siasatan mengenainya. – Bernama