KKM tetap komited perangi pandemik

KUALA LUMPUR, 25 JAN – Genap setahun negara dilanda badai COVID-19, warga Kementerian Kesihatan (KKM) tetap komited dan bekerja tanpa putus asa dalam memerangi pandemik yang boleh membawa maut itu.

Dalam satu hantaran di laman Facebooknya, KKM menyatakan kerja tetap diteruskan seperti biasa oleh semua pengurusan tertingginya dan juga barisan hadapan KKM yang berjuang di hospital, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), CAC (Pusat Penilaian COVID-19) dan klinik seluruh negara.

Hantaran itu turut menyatakan Mesyuarat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan secara maya diadakan hari ini melibatkan semua Pengarah Kesihatan Negeri di seluruh negara.

“Fokusnya adalah melihat kepada strategi dalam menangani COVID-19 dan memperkukuhkan 213 COVID-19 Assessment Center, CAC di seluruh negara,” menurut hantaran itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan timbalannya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali serta Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Malaysia mengenai Kesihatan Awam Tan Sri Dr Jemilah Mahmood adalah antara yang menghadiri mesyuarat itu.

KKM mengimbau kembali kes pertama wabak itu yang dilaporkan di Malaysia membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura. – Bernama

Seorang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap memakai pakaian pelindung diri (PPE) memakai topeng adiwira ‘Iron Man’ ketika berada di kawasan tapak pembinaan bagi membawa keluar warga asing dipercayai positif COVID-19 untuk dihantar ke Pusat Rawatan COVID-19 di Hospital Sungai Buloh, kelmarin. – Bernama