Wednesday, November 13, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KKR Sabah dalam proses tingkat tahap bekalan air

    KOTA KINABALU, 14 JUN – Kementerian Kerja Raya Sabah dalam proses menstabilkan tekanan air bagi memastikan keperluan asas itu diperoleh di seluruh kawasan di negeri itu, kata Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya.

    Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata Jabatan Air Negeri Sabah di bawah kementerian itu juga telah melaksanakan program meningkatkan tahap bekalan air bersih terutama untuk penduduk di kawasan Pantai Timur Sabah.

    “Di Tawau kita sedang membina empangan (air), pembinaan loji rawatan air (LRA) di Lahad Datu dan memulihkan bekalan air di Sandakan.

    “Bekalan air ini bukan bererti cakap hari ini, esok semuanya tersedia, ia memerlukan masa yang munasabah untuk dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di hadapan Menara Kinabalu hari ini.

    Shahelmey berkata beliau hadir di situ bagi mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menerima memorandum daripada kumpulan perhimpunan #KamiMahuAir, namun kumpulan terbabit mahukan Hajiji menerima sendiri memorandum berkenaan.

    Beliau berkata walaupun segala usaha sedang dilakukan kerajaan negeri untuk menambah baik sistem bekalan air di negeri ini, kumpulan itu masih mahu berdemonstrasi dan tidak mahu menyerahkan memorandum berkenaan kepadanya selaku menteri bertanggungjawab isu itu, justeru beliau melihat ia lebih bermotifkan politik. – Bernama

    Datuk Shahelmey Yahya ketika mengadakan sidang media di luar bangunan Menara Kinabalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda