KL City, Melaka United lakar sejarah

KUALA LUMPUR, 19 NOV – Kuala Lumpur City FC mencipta sejarah apabila mara ke pentas separuh akhir Piala Malaysia buat kali pertama sejak 1992 selepas menewaskan Selangor FC 1-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Keputusan itu menyaksikan skuad The City Boys mencatatkan kemenangan dengan agregat 3-0 selepas mendominasi pertembungan ‘derby’ Lembah Klang pada suku akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan keputusan 2-0, Ahad lepas.

Pemain import dari Colombia Romel Morales meledak gol tunggal perlawanan yang juga jaringannya yang ke-10 dalam kempen Piala Malaysia pada minit ke-51, selepas tidak dikawal dalam kawasan kotak penalti Selangor, dengan mudah menampan bola ke gawang menewaskan Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.

Menanti KL City FC di separuh akhir adalah Melaka United FC yang mengesahkan kemaraan dengan keputusan agregat 3-1 mengatasi Sabah FC selepas melakar kemenangan 2-1 pada aksi di Stadium Hang Jebat.

Pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan turut mencatat sejarah tersendiri apabila kejayaan itu menyaksikan skuad Sang Kancil buat julung kali mara ke peringkat empat pasukan terbaik kejohanan bola sepak tertua di Asia Tenggara itu dalam tempoh 38 tahun sejak kali terakhir pada 1983.

Skuad tuan rumah membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi rembatan jarak jauh penyerang import dari Brazil Adriano Narcizo, namun terpaksa menunggu hingga separuh masa kedua untuk selesa mendahului 2-0 hasil jaringan bintang pasukan Sony Norde pada minit ke-78.

Sabah FC kendalian Datuk Ong Kim Swee mendapat gol sagu hati pada masa kecederaan babak kedua perlawanan menerusi sepakan penalti disempurnakan kapten pasukan Riso Mitrevski selepas Che Rashid Che Halim menjatuhkan Jenius Karib dalam kawasan berbahaya. – Bernama