Oleh Rokiah Mahmud
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Pusat Pergigian dan Ortodontik Premier melakar sejarahnya tersendiri selepas menerima anugerah akreditasi daripada Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH), sebuah badan yang diiktiraf oleh Persatuan Antarabangsa bagi Kualiti dalam Penjagaan Kesihatan (ISQUA), hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan akreditasi kepada Pengarah Urusan Pusat Pergigian dan Ortodontik Premier, Dato Paduka Haji Abdul Latif bin Haji Ibrahim ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.
Pusat tersebut yang merupakan klinik pergigian swasta dan kini sudah beroperasi kira-kira dua tahun setengah itu telah menjalani tinjauan akreditasi oleh MSQH pada Julai 2019. Klinik ini telah diaudit dalam pelbagai bidang termasuk akses kepada penjagaan, kemudahan dan peralatan, sumber manusia, amalan, keselamatan, etika, tadbir urus klinikal dan peningkatan aktiviti kualiti.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika ditemu bual media menyatakan bahawa dengan akreditasi seperti yang diterima daripada badan antarabangsa itu, ia telah menunjukkan bahawa klinik pergigian telah melakukan perkhidmatan mereka dengan baik sehingga mencapai akreditasi dari badan terbaik di rantau ini.
“Sebagai klinik swasta yang pertama untuk diakreditasi di negara ini, ia diharap dapat menggalakkan lebih banyak klinik swasta untuk mengambil bahagian dalam akreditasi yang dilihat mampu memberikan keyakinan kepada orang ramai dan kerajaan,” tambahnya.
Sementara pengarah urusan Pusat Pergigian dan Ortodontik Premier dalam ucapannya semasa majlis tersebut berkata klinik itu dianugerahkan akreditasi status penuh untuk empat tahun. Klinik pergigian ini mempunyai visi yang menawarkan perkhidmatan pergigian yang berkualiti kepada orang ramai, dan itu hanya boleh dilakukan melalui proses pencapaian akreditasi.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian laporan akreditasi ahli Lembaga Pengarah Pusat Pergigian dan Ortodontik Premier, Dr Sumaya kepada Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif dan Haji Maswadi bin Haji Mohsin.
Klinik ini dilengkapi dengan peralatan moden, yang menawarkan penjagaan pergigian yang tinggi dan pelbagai khidmat pergigian umum dan khusus dalam perkhidmatan ortodontik di klinik pergigian di negara ini.





























