Klinik vaksinasi bergerak di Pusat Kesihatan Muara 29 dan 31 Oktober ini

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak akan dijalankan di Pusat Kesihatan Muara pada 29 Oktober ini dari 9 pagi sehingga 12 tengah hari dan 31 Oktober dari 9 pagi hingga 2:30 petang, khusus untuk penduduk Mukim Serasa dan sekitarnya.

“Penduduk setempat yang ingin mendapatkan suntikan COVID-19 bolehlah datang terus secara walk-in dengan membawa kad pengenalan atau pasport serta kad (atau nombor) Bru-HIMS, jika ada.

“Bagi mereka yang tidak mampu untuk hadir sendiri ke pusat kesihatan berkenaan disebabkan masalah kesihatan atau kesukaran bergerak, mereka boleh mendaftar atau didaftarkan melalui ketua kampung bagi urusan vaksinasi di rumah masing-masing,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Terdahulu, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa seramai 3,242 orang lagi telah menerima suntikan vaksin COVID-19 kelmarin, membawa jumlah orang yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan kepada 350,200 iaitu 81.4 peratus daripada jumlah penduduk Negara Brunei Darussalam.

“Manakala, 248,558 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 57.8 peratus daripada jumlah penduduk negara,” tambah beliau.

Beliau turut mengongsikan bahawa 97 peratus dalam kalangan penduduk berumur 60 tahun ke atas iaitu seramai 42,008 orang telah menerima satu dos vaksin COVID-19 dan seramai 37,890 orang iaitu 87.5 peratus telah melengkapkan dua dos vaksin.