Klinik vaksinasi bergerak diteruskan lagi

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak telah diteruskan lagi di beberapa buah tempat iaitu Klinik Kesihatan Labi dan di Dewan Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman, Bukit Beruang.

Bagi Klinik Kesihatan Labi, perkhidmatan tersebut mula diadakan pada hari ini hingga 24 November dari pukul 9:30 pagi hingga 2:30 petang, khusus bagi penduduk Mukim Labi dan sekitarnya yang dijadualkan untuk suntikan vaksinasi dos kedua.

“Perkhidmatan kenderaan dari rumah ke klinik juga Insya-Allah akan disediakan bagi mereka yang memerlukan bantuan kenderaan bagi penduduk Kampung Merangking dan Kampung Bukit Sawat,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Bagi Dewan Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman pula, jelas beliau, perkhidmatan akan mula diadakan esok dan 24 November dari pukul 9 pagi hingga 2:30 petang.

“Penduduk Mukim Telisai dan persekitaran adalah dialu-alukan untuk hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dos kedua, dan klinik vaksinasi ini juga dibukakan secara walk-in bagi penduduk yang berumur 18 tahun ke atas dan belum lagi menerima vaksinasi COVID-19,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Menurut beliau, penduduk setempat yang ingin mendapatkan suntikan COVID-19 bolehlah datang terus dengan membawa kad pengenalan atau pasport, kad (atau nombor) Bru-HIMS, jika ada dan Kad Vaksinasi COVID-19 bagi mereka yang menerima suntikan dos kedua.

“Bagi mereka yang memerlukan bantuan kenderaan untuk dibawa ke klinik, mereka bolehlah memaklumkan kepada ketua kampung dengan memberikan maklumat seperti nama penuh, alamat, nombor kad pengenalan dan nombor telefon,” jelas beliau lagi.

Penduduk kampung berbaris di luar Klinik Kesihatan Labi semasa kali pertama Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak dijalankan di klinik berkenaan pada 11 Oktober lalu. – Gambar oleh Daniel Lim