Klinik vaksinasi bergerak terus dapat sambutan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Seramai 110 orang telah tampil mendapatkan vaksinasi semasa Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak yang dijalankan di Kampung Menunggol, kelmarin.

Jumlah tersebut adalah termasuk mereka yang mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi dos pertama dan dos kedua.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan yang berlangsung pada petang tadi.

Sementara itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan bahawa Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak yang dijalankan di Kampung Lamunin hari ini telah menyaksikan seramai 326 orang tampil mendapatkan suntikan vaksin
COVID-19.