Saturday, September 23, 2023
23.7 C
Brunei

    -

    Klon digital, Vocaloids dapat sambutan di Jepun

    TOKYO – Kazutaka Yonekura mengimpikan dunia di mana setiap individu akan memiliki ‘klon’ digital mereka sendiri iaitu avatar dalam talian yang boleh menjalankan beberapa kerja dan tugas harian kita seperti menghadiri mesyuarat Zoom bagi pihak kita.

    Yonekura, ketua pegawai eksekutif syarikat pemula di Tokyo, Alt Inc, percaya ia boleh menjadikan hidup kita lebih mudah dan efisien.

    Syarikatnya sedang membangunkan klon digital, imej animasi yang kelihatan dan bercakap seperti pemiliknya. Klon digital ini boleh digunakan, sebagai contoh, oleh perekrut untuk menjalankan temu duga permulaan kerja atau oleh doktor untuk menyaring pesakit sebelum pemeriksaan kesihatan.

    “Ini membebaskan awda daripada semua tugas rutin yang mesti awda lakukan esok, lusa dan tulat,” katanya kepada The Associated Press sambil mempamerkan penduanya – imej video mini Yonekura pada skrin komputer, dengan versi sintetik suaranya.

    Apabila klon digitalnya ditanya ‘Apakah jenis muzik yang awda suka’, ia berhenti sejenak selama beberapa saat sebelum memberikan penjelasan panjang lebar tentang kegemaran Yonekura terhadap muzik berirama bertenaga seperti hip-hop atau rock ‘n’ roll.

    Tamura semasa bercakap dengan The Associated Press di pejabatnya di Tokyo pada 10 Ogos. – Gambar AP
    Yonekura menunjukkan klon digitalnya pada komputer peribadi di pejabatnya di Tokyo pada 17 Ogos. – Gambar AP
    Figura Vocaloid Jepun yang paling popular, Hatsune Miku dipamerkan pada acara di Chiba, Jepun pada 1 September sempena ulang tahunnya yang ke-16. – Gambar AP

    Mungkin agak mekanikal — tetapi sebarang kesilapan kecil telah dikeluarkan daripada program.

    Yonekura, 46, berpendapat bahawa teknologi itu bersifat lebih peribadi berbanding Siri, ChatGPT atau Google AI. Paling penting, ia adalah milik awda dan bukan syarikat teknologi yang menciptakannya, katanya.

    Buat masa ini, mempunyai klon digital adalah mahal. Setiap klon Alt berharga kira-kira 20 juta yen (AS$140,000), jadi ia mungkin mengambil sedikit masa sebelum ada klon untuk setiap individu.

    Dalam proses mencipta klon digital, maklumat tentang seseorang diambil dari laman media sosial dan rekod yang tersedia secara umum dalam satu usaha pengumpulan data secara besar-besaran dan disimpan dalam perisian. Data tersebut sentiasa dikemas kini, selari dengan perubahan tabiat dan cita rasa pemilik.

    Yonekura percaya klon digital boleh membuka jalan kepada masyarakat di mana orang ramai boleh memberi tumpuan kepada kreativiti dan mengurangkan masa yang terbuang dalam interaksi yang membosankan.

    Bagi kebanyakan orang Jepun — negara yang memperkenalkan dunia dengan Pokemon, karaoke, Hello Kitty dan emoji — klon digital adalah menyenangkan seperti watak animasi.

    Tetapi Yonekura mengakui terdapat perbezaan budaya dan bahawa orang Barat mungkin tidak begitu menyukai idea klon digital.

    “Saya tidak dapat memberitahu awda berapa kali saya telah ditanya: Mengapa ia perlu menjadi klon peribadi, dan bukannya ejen digital?” katanya, dengan sedikit kejengkelan dalam suaranya.

    Syarikat Yonekura telah menarik kebanyakan pelaburan domestik lebih daripada 6 bilion yen (AS$40 juta), termasuk dana modal teroka yang dikendalikan oleh bank-bank utama Jepun, sambil menjalin hubungan kerjasama dengan pihak akademik, termasuk Universiti California Selatan dan Universiti Tokyo.

    Namun, pengeluaran berskala besar klon digital masih jauh daripada realiti — buat masa ini, syarikat itu menawarkan perisian pengecaman suara dan teknologi pembantu maya pada harga yang lebih mampu milik.

    Matt Alt, pengasas bersama AltJapan Co, sebuah syarikat yang menghasilkan versi berbahasa Inggeris permainan video Jepun yang popular dan yang telah menulis buku mengenai Jepun, termasuk Pure Invention: How Japan Made the Modern World, berkata bahawa idea klon digital lebih masuk akal dari segi budaya di Jepun.

    Ninja, tentera sulit feudal Jepun yang masyhur, terkenal dengan teknik bunshin-jutsu untuk mencipta ilusi berganda atau pembantu dalam pertempuran bagi mengelirukan pihak lawan. Idea bunshin-jutsu telah diadaptasi dan merupakan perkara lazim dalam permainan video Jepun moden, buku komik manga dan novel grafik.

    “Siapa yang tidak mahu bantuan daripada seseorang yang memahami mereka secara mendalam? Kata Alt, tetapi menambah bahawa di Barat, idea klon yang sedia ada adalah ‘lebih menakutkan’.

    “Terdapat filem Invasion of the Body Snatchers, misalnya, atau bahkan penyapu yang berganda seperti virus dalam filem Fantasia oleh Disney,” katanya.

    INCS toenter Co, satu lagi syarikat pemula yang berpangkalan di Tokyo, telah berjaya sebagai syarikat pengeluaran muzik berkomputer untuk animasi, manga, filem, realiti maya dan permainan yang menggunakan apa yang dipanggil sebagai artis Vocaloid. Penyanyi atau muzikal sintetik yang dikenali sebagai Vocaloid sering dikaitkan dengan watak-watak bergaya anime atau manga.

    Seperti klon digital Yonekura, Vocaloid adalah contoh teknologi Jepun yang menggunakan perisian komputer untuk meniru sifat atau rupa manusia.

    Antara hit INCS toenter adalah Melt, yang dicipta pada satu komputer meja pada tahun 2007 dan dilakukan oleh kumpulan yang dipanggil Supercell, yang telah dimainkan sebanyak 23 juta kali di YouTube.

    Satu hit yang lebih baharu ialah Kawaikute gomen, yang bermaksud ‘maaf kerana sangat comel’, oleh HoneyWorks, sebuah unit Vocaloid. Satu lagi ialah Eve, yang membawa lagu tema siri animasi mega hit Jujutsu Kaisen, dan mempunyai 4.6 juta pengikut di saluran YouTubenya.

    Sesetengah orang tertanya-tanya sama ada klon digital atau Vocaloid boleh menjadi popular di luar Jepun. Pembantu digital dan perisian suara, serta muzik berkomputer wujud di Barat, tetapi ia bukanlah klon atau Vocaloid.

    Yu Tamura, ketua pegawai eksekutif dan pengasas INCS toenter, mengatakan bahawa beliau mendapat dorongan daripada populariti global dalam bidang animasi dan manga Jepun yang semakin meningkat tetapi satu perkara yang perlu diperhatikan adalah ‘sindrom Galapagos’.

    Istilah ini, merujuk kepada pulau-pulau Pasifik yang terpencil di mana haiwan berkembang dengan cara yang unik, digunakan secara meluas di Jepun bagi menggambarkan bagaimana beberapa produk Jepun, walaupun berjaya di dalam negara, gagal diterjemahkan ke luar negara.

    Pengguna luar negara mungkin melihatnya sebagai pelik atau terlalu comel, kecuali bagi peminat tegar Jepun, kata Tamura.

    “Mereka tidak akan faham,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...