Klopp akui penyebab pemain keliru

SOUTHAMPTON, 12 Jan – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui dia mungkin telah membuatkan para pemainnya keliru apabila mengarahkan pertukaran taktikal dengan hanya menulis di atas kertas ketika kekalahan 1-0 kepada Southampton dalam aksi separuh akhir pertama Piala Liga.

Penyerang England, Daniel Sturridge kelihatan seperti keliru apabila diberikan butiran nota itu di separuh masa kedua di St Mary’s, dengan rakan sepasukannya turut tidak memahami pertukaran yang cuba dilakukan oleh Klopp.

Bekas pengendali Borussia Dortmund itu mendedahkan, dia mengubah taktikal Liverpool kepada 3-5-2, dan mengakui gagal menyampaikan mesej itu dengan jelas dan pantas kepada para pemainnya.

“Ia merupakan satu sistem baru, 3-5-2,” kata Klopp.

“Dua pemain sayap, dua penyerang, itu saja. Tidak ada maklumat lain, tetapi ia mencukupi. Saya rasa kami mungkin sedikit lambat apabila menyerahkan kertas itu ketika permainan sudah berjalan. Itu kesilapan kami.

Bos Liverpool, Jurgen Klopp membuat aduan kepada pembantu pengadil ketika aksi separuh akhir pertama Piala Liga menentang Southampton. – AP
Bos Liverpool, Jurgen Klopp membuat aduan kepada pembantu pengadil ketika aksi separuh akhir pertama Piala Liga menentang Southampton. – AP

“Tujuh atau lapan pemain dapat memahaminya tetapi Roberto (Firmino) memerlukan tempoh lebih lama. Perkara sebegini boleh terjadi.”

Meskipun tewas, bos The Reds itu menegaskan Liverpool akan bangkit menentang Southampton pada perlawanan balas di Anfield untuk memadamkan kelebihan jaringan Nathan Redmond yang memberikan kemenangan 1-0 kepada pasukan tuan rumah.

Klopp sedar suasana di Anfield akan membangkitkan semangat pemain-pemainnya untuk memastikan slot ke final Piala Liga menjadi milik mereka apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi 25 Januari ini.

“Sekarang ini ada dua pengendali yang kecewa selepas perlawanan, seorang kerana tewas dan seorang lagi kerana hanya menang 1-0 dan terpaksa bertandang pula ke Anfield,” katanya. – AFP