LIVERPOOL, 22 Jan – Pengurus Liverpool Jurgen Klopp menghamun gaya bertahan ‘pasif’ pasukannya selepas kekalahan 3-2 di laman sendiri kepada Swansea City, memberikan tamparan hebat kepada harapan kejuaraan Liga Perdana mereka.
Swansea, pasukan yang bergelut di zon penyingkiran, menjadi pasukan pelawat pertama yang memenangi perlawanan liga di Anfield selama lebih setahun apabila Fernando Llorente menjaringkan dua gol semalam sebelum Gylfi Sigurdsson memperoleh kemenangan 16 minit sebelum perlawanan tamat.
Sekali lagi Liverpool kelihatan hebat dari segi serangan dalam satu perlawanan di mana dua gol jaringan Roberto Firmino melihat pasukan Reds pulih daripada deficit 2-0.
Namun pengurus warga Jerman Klopp sangat marah dengan persembahan Merseysider di hujung padang kerana mereka terlepas peluang untuk merapatkan kedudukan empat mata daripada pemimpin Chelsea.

“Kami menunjukkan sekali lagi bahawa apabila kami berada pada haluan yang betul, kami adalah pasukan yang kuat dan boleh mewujudkan peluang serta menjaringkan gol,” katanya.
“Namun cara kami bertahan ke atas kesemua tiga gol hari ini adalah tidak mencukupi, 100 peratus. Ia merupakan bahagian amat penting dalam perlawanan dan ia amat mengecewakan hari ini.”
Klopp berasa tidak puas hati dengan kekurangan kawalan daripada sepakan sudut Sigurdsson yang menyebabkan Llorente, yang mempunyai ketinggian 6 kaki 4 inci, tidak dikawal untuk menjaringkan gol pembukaan Swansea.
“Kami kehilangan cabaran pertama di penjuru dan saya tidak melihat bagaimana Llorente boleh bersendirian dalam kotak enam-ela dan menjaringkan gol,” kata Klopp. “Adakah agak sukar untuk melihatnya?” – AFP