Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Klopp cari tonik di Leicester

    LEICESTER, 22 Sept – Jurgen Klopp (gambar) berusaha sedaya upaya untuk kekal positif ketika September tampak mengecewakan bagi Liverpool setakat ini, dengan pengendali dari Jerman itu mahu peningkatan mendadak dipamerkan di Leicester, esok.

    The Reds mengakhiri Ogos dengan semangat tinggi hasil kemenangan besar 4-0 ke atas Arsenal, namun mengharungi deretan empat perlawanan tanpa kemenangan termasuk disingkirkan Leicester dalam kempen Piala Liga.

    Leicester ketika ini bersemangat tinggi susulan kemenangan 2-0 ke atas The Reds, Selasa lalu, namun Klopp menolak dakwaan yang pemainnya terlalu ‘lembut’ dan tidak mempunyai kekuatan mental yang tinggi.

    “Benar kami perlu mendapatkan karektor yang tepat. Mereka sudah membuktikannya beratus kali sebelum ini,” kata Klopp.

    “Ia kedengaran seperti kami tidak mendapat sebarang mata langsung dan pasukan terburuk dalam liga. Benar kami berdepan masalah. Kerana itu kami hanya meraih lapan mata dan bukannya 15. Itulah situasinya.

    “Kami boleh menjadi lebih serius berbanding sekarang atau kami boleh menanganinya seperti ini. Benar ada banyak kerja yang perlu dibuat. Tetapi ia juga sama jika kami dapat 15 mata.”

    Selepas bangkit untuk mengikat Burnley 1-1 dalam Liga Perdana (PL) Inggeris minggu lalu, Liverpool sebelum itu bangkit untuk mengikat Sevilla 2-2 dalam kempen Liga Juara-Juara.

    Begitupun, kebimbangan sebenar bagi Liverpool ialah kerapuhan bahagian benteng pertahanan dengan gawang mereka ketika ini dibolosi 10 kali dalam empat perlawanan terakhir.

    Leicester yang menanti kunjungan The Reds buat kali kedua, dalam pada itu mengakui kemenangan dalam kempen Piala Liga tidak boleh dijadikan ukuran dalam saingan PL.

    Klopp melakukan lapan perubahan ketika perlawanan itu dan pemain sayap The Foxes, Marc Albrighton menjangkakan Liverpool akan menyenaraikan barisan terkuat kali ini.

    “Mereka akan menurunkan pemain yang diberi rehat. Ia akan memberi kesukaran kepada kami terutama di awal permainan kerana mereka sentiasa memberi tekanan tinggi,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda