Klopp pertahankan kualiti Sturridge

HONG KONG, 18 Julai – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp merancang untuk menurunkan Daniel Sturridge yang sudah bebas dari kecederaan bagi musim baru, dengan penyerang England itu kembali berlatih dan fokus sepenuhnya.

“Ia adalah kedudukan terbaiknya sejak saya berada di sini,” Klopp memberitahu wartawan di Hong Kong hari ini menjelang kempen kedua penuhnya sebagai pengurus Liverpool.

Sturridge terjejas dengan beberapa kecederaan sejak menyertai Reds dari pesaing Liga Perdana, Chelsea pada 2013 dan masalah pinggul yang mengehadkan impaknya kepada hanya tujuh gol dari 27 kemunculan musim lalu.

Pemain berusia 27 tahun itu baru-baru ini dikaitkan dengan perpindahan ke China, tetapi Klopp menegaskan Sturridge tidak akan ke mana-mana, menyokongnya untuk kembali dalam rentak yang hampir membantu membawa Liverpool menjulang gelaran liga pada musim pertamanya di Merseyside.

“Dia adalah sebahagian dari pra musim penuh setakat ini, jadi ia dalam kedudukan yang positif,” kata Klopp sebelum Liverpool menyertai Trofi Asia Liga Perdana yang juga melibatkan Leicester City, Crystal Palace dan West Bromwich Albion.

Klopp (kanan) dijangka menjadikan Daniel Sturridge penyerang utamanya musim depan selepas mendakwa pemain itu kini sudah bebas daripada kecederaan. – AFP
Klopp (kanan) dijangka menjadikan Daniel Sturridge penyerang utamanya musim depan selepas mendakwa pemain itu kini sudah bebas daripada kecederaan. – AFP

“Ia begitu tegang dengan apa yang kami lakukan dan dia telah menyertai setiap sesi yang mana adalah bagus. Dia berada dalam fizikal yang bagus.”

Di tengah-tengah perkhabaran mengenai ketibaan Mohamed Salah ke Liverpool, yang ditandatangani dari Roma bulan lalu bagi anggaran AS$45 juta, Klopp berkata fokus utamanya adalah melihat kelabnya meningkatkan kedudukan mereka selepas menamatkan musim lalu di tangga keempat.

“Kadangkala (berita) adalah mengenai membawa masuk pemain-pemain baru tetapi perkara utama adalah bagaimana kami meningkatkan pemain yang kami miliki musim lalu,” kata bekas jurulatih Dortmund itu, yang pada masa ini menunggu bagi perpindahan utama Naby Keita dan Virgil van Dijk.

“Perkara yang baik adalah kami tidak kehilangan mana-mana pemain yang kami mahu dan saya menjangkakan banyak peningkatan dari pemain-pemain yang sedia ada.” – AFP