Klopp puji prestasi Liverpool

MUNICH, 14 Mac – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp men-dedahkan skuad kendaliannya kian matang bersaing di pentas Eropah selepas menyingkirkan gergasi Jerman, Bayern Munich daripada kempen Liga Juara-Juara, kelmarin.

Dua gol daripada Sadio Mane dan tandukan Virgil van Dijk mengesahkan kemenangan 3-1 Liverpool di gelanggang lawan, Allianz Arena untuk Reds mara secara agregat 3-1 selepas perlawanan pertama di Anfield berakhir tanpa jaringan, bulan lalu.

Kemenangan tersebut menyaksikan Liverpool menyertai tiga lagi kelab Inggeris, Manchester City, Manchester United dan Tottenham Hotspur di peringkat suku akhir dengan sesi undian dijadual berlangsung, esok.

“Separuh masa kedua yang amat, amat matang. Pada babak pertama kami sepatutnya bermain lebih baik sedikit,” kata Klopp. “Saya fikir ia layak untuk menjadi berita utama, kerana amat sukar bermain di tempat lawan di Bayern.

“Mereka tidak tewas banyak perlawanan di sini. Ia merupakan perlawanan besar, saya amat bangga dengan pemain dan bagaimana mereka melakukannya.”

Reaksi Klopp selepas perlawanan antara Bayern Munich dan Liverpool di Munich yang berkesudahan dengan keputusan 3-1 berpihak kepada Liverpool. – AFP

Kekalahan mungkin menjadi petanda berakhirnya era buat Bayern yang sebelum ini enam kali melangkah ke peringkat separuh akhir daripada tujuh edisi terakhir Liga Juara-Juara termasuk ketika mereka menewaskan Borussia Dortmund yang ketika itu dikendalikan Klopp bagi menjuarai edisi 2012/13.

Begitupun, Klopp menafikan kemenangan di Munich sebagai misi balas dendam tercapai terhadap juara Jerman itu.

“Saya bukan seperti itu. Saya tidak mahu menewaskan Bayern untuk mengalahkan Bayern.

Saya mahu menang untuk Liverpool,” katanya. “Ramai peminat kami di sini pada malam ini, penonton juga menakjubkan dan mencipta suasana yang kamu perlukan.

“Malam yang mengagumkan buat Liverpool sekali lagi di Liga Juara-Juara.

Mengulas mengenai pertembungan sesama sendiri kelab dari Liga Perdana Inggeris di peringkat lapan terbaik, Klopp berkata ia adalah sesuatu yang ingin dielak.

“Saya boleh katakan ia adalah sama, ia adalah Liga Juara-Juara. Kami cuba untuk bermain dengan pasukan dari Eropah. Tetapi sesiapapun yang menjadi lawan, kami akan hadapi. Pemain-pemain gemarkan kejohanan ini.”

Mengenai kecederaan yang dialami Jordan Henderson, menurut Klopp, “Ia tidak begitu serius mengenai buku lalinya tetapi ia sesuatu yang kurang menyenangkan apabila membuat pertukaran terutama sekali di bahagian tengah.”

Klopp menggesa skuadnya untuk berani mengasak bola dan memberi tekanan. – AFP