WEST BROMWICH, 17 April – Jurgen Klopp melaungkan pujian khusus buat penjaga gol, Simon Mignolet (gambar) yang beraksi cemerlang menewaskan West Bromwich Albion 1-0 dalam saingan EPL, semalam.
Klopp nyata lega apabila menyaksikan Reds berjaya mempertahankan gol tunggal yang diraih mereka menerusi Roberto Firmino pada babak pertama sehingga tamat perlawanan yang berlangsung di The Hawthorns.
Kemenangan itu membolehkan anak buah Klopp kembali berada di tangga ketiga liga, dua mata di depan penghuni tangga keempat, Manchester City dalam perebutan tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Mereka seharusnya berterima kasih kepada Mignolet yang berjaya menyelamatkan percubaan Matt Philllips dan Klopp mencabar pemainnya untuk mengekalkan konsistensi itu.
“Ia salah situasi sukar yang perlu dihadapi kerana kamu tidak boleh rasa selesa pada suatu ketika. Ada orang bertanya kepada saya, berapa keputusan yang akan membuatkan saya lebih tenang di lewat babak perlawanan dan saya menjawab, hanya 4-0 selepas 86 minit.
“Mungkin dengan keputusan itu saya boleh merasakan kami sudah menang kerana berdepan West Bromwich ia bukan hanya situasi bola mati,” kata Klopp.
Klopp memuji Mignolet yang sering dikritik susulan prestasi cemerlangnya sepanjang perlawanan terutama ketika menafikan percuban Phillips.
Beberapa kali dia menyelamatkan percubaan pihak lawan ketika lewat perlawanan bagi menggagalkan situasi bola mati dimiliki West Brom.
“Dia sangat bagus ketika situasi bola mati, saya rasa dia menyelamatkan empat atau lima percubaan dalam situasi itu.
“Kami sangat gembira dengan tiga mata, jadi kami kini mengumpul 66 mata, ia adalah nombor cantik untuk baki enam atau tujuh aksi lagi,” katanya yang mengetepikan Mignolet pada awal saingan musim ini. – AFP