Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Klopp: Reds beraksi ‘amat buruk’

    LIVERPOOL, 29 Jan – Pengurus Liverpool Jurgen Klopp akur skuad bimbingannya beraksi ‘amat buruk’ selepas kelab Divisyen Dua, Wolverhampton Wanderers menyingkirkan The Reds dalam saingan Piala FA di Anfield, semalam.

    Kekalahan 2-1 di pusingan keempat itu bermakna Liverpool yang ketika ini ketinggalan 10 mata di belakang Chelsea dalam kempen liga, tersingkir daripada dua kejohanan dalam tempoh empat hari.

    Liverpool sebelum ini disingkirkan di peringkat separuh akhir dalam kempen Piala Liga Inggeris selepas tewas 2-0 secara agregat kepada Southampton, Khamis lalu.

    “Kami bermain dengan amat buruk,” kata Klopp kepada BT Sport. “Kami bermula dengan terburu-buru dan tidak menjadi semakin baik. Semua orang melihatnya. Tidak banyak perkara bagus untuk dikatakan kali ini. Sukar untuk dijelaskan.”

    Kekalahan itu menyaksikan Liverpool hanya menang satu perlawanan tahun itu iaitu menentang kelab divisyen empat, Plymouth pada pusingan ketiga.

    “Jika seseorang berkata ini adalah tempoh paling buruk sejak saya berada di Liverpool sehingga kini, saya tidak tahu,” kata Klopp. “Namun ia adalah masa yang baik untuk bangkit kerana tidak mustahil untuk menjunam lebih jauh.”

    Ketika ditanya mengenai perubahan yang dilakukannya, Klopp berkata: “Saya bertanggungjawab dengan barisan yang diturunkan. Saya tidak boleh menyalahkan seseorang pemain saja.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda