Klopp setia bersama Reds

CHICAGO, 19 JULAI – Pengurus Liverpool Jurgen Klopp berkata beliau menjangkakan kekal di Anfield sekurang-kurangnya tiga tahun lagi apabila gergasi Liga Perdana itu bersedia memulakan jelajah pra-musim ke Amerika Utara.

Klopp, yang berjaya membawa Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara keenam bulan lalu, menjawab laporan yang mendakwa beliau akan meninggalkan kelab itu apabila kontraknya tamat pada 2022.

“Wow! Saya tak rasa ada orang akan tanyakan tiga tahun sebelum kontrak berakhir,” kata Klopp.

“Kita lihat dulu. Kenapa perlu berfikir tentang ini? Sekurang-kurangnya tiga tahun – itu adalah jawapannya. Sekurang-kurangnya tiga tahun.”

Bulan lalu, ESPN melaporkan Klopp memikirkan tentang nasibnya selepas kontrak bersama Liverpool berakhir.

Klopp bercakap kepada wartawan pada sidang media di Stadium Notre Dame, South Bend, Indiana, kelmarin. – AFP

Ejennya, Mark Kosicke memberi gambaran yang Klopp mungkin berminat untuk mengambil alih tugas sebagai jurulatih skuad kebangsaan Jerman.

Klopp bagaimanapun kekal fokus untuk persediaan bagi musim depan apabila The Reds memulakan jelajah AS dengan tiga perlawanan bertemu Borussia Dortmund di South Bend, Indiana lewat hari ini.

“Saya teruja dengan ujian pertama ini,” kata Kloop, yang mengakui tidak terlalu bimbang dengan keputusan jelajah itu.

“Setakat ini, semua berjalan dengan baik tetapi masih ada banyak kerja untuk dilakukan,” katanya.

“Kami bermain dengan tahap tertentu tahun lepas yang mana adalah asas kepada apa yang kami jangkakan pada musim akan datang.

“Ini bukanlah tentang keputusan, ia adalah mengenai persembahan dan masih ada ruang untuk membaikinya serta itu adalah apa yang kami usahakan. Kami sedar perkara itu.”

Persiapan Liverpool terganggu dengan kalendar bola sepak perlawanan antarabangsa.

Penjaga gol Alisson dan penyerang Roberto Firmino hanya akan menyertai skuad selepas kempen Copa Amerika bersama Brazil.

Sementara itu, penyerang Mohamed Salah dan Sadio Mane juga tidak turut serta bagi membantu Mesir dan Senegal dalam persaingan Piala Negara-Negara Afrika. – AFP