LONDON, 8 Mac – Jurgen Klopp menegaskan bahawa Liverpool sedang dalam persaingan gelaran Liga Perdana disebabkan oleh jaringan Mohamed Salah meskipun pemain Mesir itu gagal menemui rentak akhir-akhir ini.
Salah terlepas dua peluang keemasan tatkala Liverpool mencatat keputusan seri untuk kali keempat dalam enam perlawanan liga selepas seri tanpa jaringan dengan Everton hujung minggu lalu sekali gus ketinggalan satu mata di belakang Manchester City di persada liga.
Pemain Terbaik Liga Perdana musim lalu kini hanya menjaringkan satu gol dalam tujuh perlawanan sebelum ini. Bagaimanapun, dia ketinggalan satu gol di belakang Sergio Aguero dalam persaingan kasut emas Liga Perdana.
“Apabila anda seorang pemain penyerang dan anda mempunyai peluang dalam perlawanan tersebut, anda mahu menjaringkan gol, ia sudah jelas,” kata Klopp menjelang perlawanan menentang Burnley di Anfield hujung minggu ini.
“Tetapi sebagai pengurus, saya sudah biasa dengan perkara itu yang mana para pemain tidak akan menjaringkan dalam setiap perlawanan.”
“Dia memiliki rekod yang menakjubkan. Rekod jaringannya telah membawa kami di mana kami berada sekarang, bukan sahaja jaringannya tetapi sebahagian besarnya.”
Liverpool tidak lagi mempunyai kelebihan untuk merangkul gelaran pertama dalam tempoh 29 tahun dengan berbaki sembilan perlawanan Liga Perdana.
“Kami selalu katakan, kami mahu berada dalam kedudukan untuk bersaing bagi kedudukan teratas liga dan kami memang masih dalam laluan tersebut,” tambah Klopp. – AFP

































