Kluster baharu bertambah, 56 keseluruhan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Negara Brunei Darussalam hari ini mencatatkan 116 lagi kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,683 orang manakala dua lagi kluster baharu dikesan.

Pengesanan kluster baharu itu membawa kepada penambahan jumlah keseluruhan kluster kepada 56.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsi perkara itu pada sidang media jangkitan terkini COVID-19 di Dewan ‘Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Kluster-kluster baharu ini ialah Kluster 3395 yang mengandungi lapan kes baharu dan Kluster 3412 yang mengandungi empat kes baharu. Kedua-dua kluster ini juga mengandungi kes-kes yang telah dilaporkan sebelum ini sebagai kes yang belum dikenal pasti sumber jangkitannya,” jelas Menteri Kesihatan.

Menurutnya, terdapat 30 tambahan kes-kes baharu kepada 10 kluster aktif yang sedia ada daripada mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

“Sementara itu, 74 kes adalah masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan,” kongsi Yang Berhormat Dato.

Pengesanan kontak bagi kesemua kes baharu tersebut masih giat dijalankan dan semua kontak terdekat yang dikenal pasti diarahkan untuk menjalani kua-rantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

Sementara itu, 91 kes sembuh hari ini yang termasuklah 29 kes positif Kategori 1 yang membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing. Mereka telah menjalani ujian swab ulangan pada hari ke-12 dan disahkan sembuh.

Oleh itu, jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada sebanyak 2,149 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,514 kes, tambah Yang Berhormat Dato.

Dalam kalangan kes-kes aktif tersebut, lapan kes adalah dalam keadaan kritikal yang mana enam daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation). Manakala dua kes masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine 3 (ECMO).

“Sementara itu, 29 kes lain yang dikategorikan dalam kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi,” tambah Yang Berhormat Dato.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,052 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 260,089 ujian.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan jumlah penduduk yang divaksinasi, sebanyak 51.9 peratus iaitu seramai 235,297 orang yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 dan sebanyak 27.4 peratus penduduk iaitu seramai 124,079 orang telah menerima suntikan vaksin yang lengkap.

Bagi maklumat lanjut, layari www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth, Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada [email protected]