Kluster baharu dikesan di Kidurong

PUTRAJAYA, 19 JUN – Kes baharu COVID-19 di Malaysia hari ini kembali kepada satu angka membabitkan hanya enam jangkitan, menjadikan jumlah kes positif kepada 8,535 kes, manakala kluster baharu dikesan di Kidurong dekat Bintulu, Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 70 kes pulih daripada COVID-19 dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 8,070 kes iaitu 94.6 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 344 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada enam kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan satu warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

“Kesemua empat kes penularan di dalam negara adalah dalam kalangan warganegara,” katanya.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata, KKM telah mengesan satu kluster baharu di Sarawak, iaitu kluster Kidurong yang melibatkan enam kes setakat ini.

Beliau berkata, kes indeks adalah merupakan seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), di mana beliau dikesan positif pada 12 Jun lalu. – Bernama