Kluster baharu libatkan 9 pekerja restoran

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Satu kluster baharu yang dikenali sebagai Kluster Semporna Enak membabitkan sembilan pekerja restoran tersebut telah menjadikan jumlah baharu jangkitan COVID-19 di negara ini hari ini, seramai 34 orang.

Dengan jangkitan baharu itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes koronavirus di negara ini seramai 440 orang, umum Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, petang ini.

Sementara itu, tambahan kes baharu kepada kluster-kluster aktif yang sedia ada iaitu lapan kes bagi Kluster Chung Hua KB; empat kes bagi Kluster Al-Falah; tiga kes bagi Kluster ABCi; dua kes bagi Kluster TOTAL; dan satu kes bagi Kluster Starlodge.

Satu kes telah dikaitkan dengan Kes 362, empat kes belum diketahui sumber jangkitan, dengan dua lagi kes adalah kes import dari Manila yang tiba di negara ini pada 28 Julai 2021.

Menurut Yang Berhormat Dato, pengesanan kontak bagi semua kes tempatan dan import baharu itu masih giat dijalankan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa mengumumkan sejumlah 34 kes baharu yang termasuk dua kes import semasa sidang media kelmarin.

Semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

Sementara itu, sembilan kes telah disahkan sembuh di Pusat Pengasingan Kebangsaan membawa kepada jumlah kes yang sembuh sebanyak 314 kes. Ini bermakna terdapat 123 kes aktif yang sedang berada dalam rawatan pada ketika ini di mana semua kes adalah dalam keadaan yang baik.

Selain itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 2,172 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 160,064 ujian.

Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan bagi mengawal wabak yang berlaku pada masa sekarang.

“Dengan negara sekarang berdepan dengan peningkatan kes-kes tempatan (community transmission), vaksinasi COVID-19 ditambah dengan langkah-langkah penjarakan fizikal dan pemakaian penutup mulut dan hidung kekal menjadi kaedah yang paling efektif untuk membantu Negara Brunei Darussalam mengawal wabak ini.”

Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan mengenai hasil daripada pemantauan berterusan Kementerian Kesihatan yang menunjukkan bahawa daripada 92 kes tempatan, hanya tujuh kes (7.6 peratus) yang telah menerima suntikan COVID-19 dengan lengkap, manakala yang selebihnya (iaitu 85 kes) sama ada belum menerima suntikan COVID-19 atau belum menerima vaksin dengan lengkap.

“Bagi kes-kes yang telah divaksinasi dengan lengkap, laporan perubatan dari Pusat Pengasingan Kebangsaan menunjukkan mereka sama ada hanya menghidap tanda-tanda jangkitan yang ringan atau tidak mempunyai sebarang tanda jangkitan,” katanya.

Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa analisa awal mengenai keberkesanan vaksinasi di Negara Brunei Darussalam menunjukkan pengambilan dua dos suntikan vaksin COVID-19 adalah lebih dari 70 peratus berkesan dalam mengurangkan jangkitan, termasuk jangkitan tanpa tanda-tanda penyakit.

“Selain dapat mengurangkan risiko jangkitan, vaksin juga didapati lebih berkesan mengurangkan risiko penyakit yang teruk. Kajian-kajian di United Kingdom dan Kanada menunjukkan dua dos vaksinasi COVID-19 adalah lebih dari 90 peratus berkesan dalam mencegah penyakit yang teruk, termasuk jangkitan varian Delta,” tekan Yang Berhormat Dato.

Mengambil kira dapatan-dapatan tersebut, menurut beliau, adalah lebih mustahak bagi semua orang yang layak menerima suntikan COVID-19 untuk mendapatkan suntikan tersebut bagi melindungi diri sendiri dan keluarga masing-masing, terutamanya warga emas berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang menghidap penyakit kronik.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.