Kluster Benteng LD catat pertambahan kes

KUALA LUMPUR, 3 SEPT – Kluster Benteng LD di Sabah mencatatkan pertambahan tujuh lagi kes, menjadikan jumlah terkini kes dalam kluster itu meningkat kepada 14, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah pertambahan kes itu, enam dikesan hari ini manakala satu lagi, dikesan pada 1 Sept (kes ke-9351).

Kes ke-9351 itu melibatkan seorang banduan di Penjara Tawau, Sabah yang mempunyai sejarah dimasukkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bagi perbicaraan sebutan kes dan beliau didapati mempunyai kontak rapat dengan dua kes indeks kluster ini (kes ke-9344 dan kes ke-9345).

Bagi enam kes baharu yang dilaporkan hari ini, Dr Noor Hisham berkata mereka dikesan di Penjara Tawau dengan empat daripada kes tersebut turut mempunyai sejarah ke IPD Lahad Datu.

Empat individu itu kembali ke Penjara Tawau pada 28 Ogos seterusnya menjangkiti dua lagi banduan baharu dan kesemua kes positif baharu ini tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Tawau. – Bernama