Kluster Jeti Kuching diisytiharkan tamat

KUCHING, 16 OGOS – Kluster Jeti Kuching, antara kluster COVID-19 yang dikesan di Sarawak telah diisytiharkan tamat setelah kesemua kes positif berkaitannya sembuh dan dibenarkan pulang dari hospital.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) hari ini, kluster Jeti Kuching itu melibatkan dua orang pekerja bukan warganegara Malaysia dari sebuah syarikat perikanan yang beroperasi di sebuah jeti di Pending.

“Kluster Jeti Kuching telah dikenal pasti berpunca daripada jangkitan tempatan iaitu jangkitan di dalam komuniti. Bagaimanapun, kluster ini telah berjaya dibendung dengan usaha dan kerjasama antara Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dengan semua ahli JPBN,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan di sini hari ini.

Setakat ini, tujuh kluster yang masih aktif di negeri ini iaitu Kluster Syarikat Kejuruteraan, Kluster Mambong, Kluster Pasar Stutong, Kluster Sentosa, Kluster PUI Melbourne, Kluster Syarikat Pembinaan Kuching dan Kluster Pasar Satok. – Bernama