Kluster kediaman masih dominan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Kluster kediaman masih dominan di negara ini apabila empat lagi kluster seumpamanya dikesan hari ini, membawa kepada 87 kes baharu jangkitan COVID-19, dengan jumlah kumulatif mencecah 14,378 orang.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam perkongsian statistik pada sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini mengatakan, terdapat tambahan 31 kes baharu kepada tujuh kluster aktif yang sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Menurutnya, terdapat empat kluster baharu melibatkan 30 kes yang merupakan kluster kediaman, salah satu daripadanya ialah Kluster Sweet Lemongrass Staff House yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat tersebut.

Tiada kluster diisytiharkan tamat, menjadikan jumlah kluster aktif kepada 162 kluster dan 26 kes baharu masih dalam siasatan sumber jangkitannya, tambahnya.

“Sebanyak 73 kes telah sembuh, membawa jumlah keseluruhan yang sembuh ialah 13,786 orang manakala kes aktif pula 494,” katanya.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa lima kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation).

“Sementara itu, tidak ada kes lain dikategorikan dalam Kategori 4 iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen,” tambahnya.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,038 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 570,625 ujian.

Di hujung kenyataannya, Menteri Kesihatan menyeru semua orang ramai untuk mematuhi segala garis panduan dan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan semasa pandemik COVID-19 ini.

“Bersama-sama kita berusaha demi melindungi kesejahteraan diri, keluarga dan orang ramai amnya. Mudah-mudahan kitani di negara ini sentiasa dirahmati oleh Allah SWT dan semoga negara akan beransur pulih dari wabak COVID-19 ini jua.”