Kluster keempat dikesan di Semporna

KUALA LUMPUR, 17 SEPT – Bilangan kluster baharu di Sabah terus meningkat dengan kluster baharu dikesan di Semporna pada Isnin dikenali sebagai Kluster Selamat, menjadikan ia kluster keempat selepas Kluster Benteng LD, Kluster Pulau dan Kluster Laut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes indeks kluster baharu itu iaitu kes ke-9,969 merupakan seorang wanita warganegara berusia 32 tahun yang didapati positif COVID-19 pada 14 Sept ketika saringan kemasukan ke Hospital Tawau bagi kelahiran pramatang.

“Hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif, satu lagi kes positif COVID-19 telah dikesan, yang mana kes merupakan pegawai perubatan yang merawat kes indeks,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini. Beliau berkata sehingga hari ini, sejumlah 118 individu telah disaring dalam kluster itu dan daripada jumlah itu dua individu dikesan positif COVID-19 manakala bakinya sedang menunggu keputusan.

Punca jangkitan masih dalam siasatan dan aktiviti mengawal penularan jangkitan bagi kluster itu giat dijalankan di lapangan. – Bernama