Kluster rumah persendirian masih tinggi

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Perlanggaran arahan Operasi Pulih masih dilaporkan setiap hari sejak perlaksanaannya sebulan yang lalu, menunjukkan masih ramai yang tidak faham dengan arahan tidak keluar rumah dari pukul 8 malam hingga 4 pagi.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan hari ini menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi arahan Operasi Pulih dengan teranah di rumah pada waktu yang ditetapkan.

“Jika dilihat, kluster yang positif lebih 60 itu hanya dua saja yang melibatkan rumah pekerja asing manakala selebihnya adalah rumah persendirian terutama sekali di Kuala Belait,” ujar beliau.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menambah, walaupun penularan COVID-19 di negara ini masih mencatatkan tiga angka, jumlah stabil adalah dalam 100.

Kelmarin, jumlah jangkitan yang dilaporkan menurun dengan 65 kes jangkitan baharu dan diharap dengan Operasi Pulih akan dapat menurunkan lagi jumlah tersebut, tambah beliau ketika ditanya sama ada penurunan jumlah kes beberapa hari ini menunjukkan kestabilan penularan jangkitan, semasa sidang media di Kementerian Kesihatan.

Anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semasa menjalankan pemantauan Operasi Pulih di Daerah Brunei dan Muara. – Gambar serahan PPDB