Kluster Sivagangga berkemungkinan besar ‘super-spreader’

PUTRAJAYA, 6 OGOS – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji sama ada kluster Sivagangga di Kedah merupakan kluster ‘super-spreader’ iaitu berupaya menjangkiti ramai orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini memandangkan kluster Sivangangga merebak dengan cepat berbanding kluster di Sarawak dan sebagainya.

“KKM kena laksana ujian dengan teliti, dan akan kulturkan virus tersebut di makmal serta melihat kepada susunan genomik,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di KKM di sini, hari ini.

Jelasnya pada masa ini KKM berjaya mengawal peningkatan mendadak kes COVID-19 daripada kluster Sivagangga.

Mengulas mengenai jangkitan yang berlaku di Australia, Dr Noor Hisham berkata COVID-19 merebak di Victoria kerana seorang tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) di pusat kuarantin dan menjangkiti seluruh komuniti dan satu negeri.

“Petang tadi saya mengadakan telesidang dengan rakan sejawat saya di Melbourne. Saya  dimaklumkan kes jangkitan tertumpu kepada seorang individu yang balik dan membawa jangkitan kepada semua orang,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu adalah sepertimana berlaku dalam kluster Sivagangga.

“Seorang individu yang balik dan membawa jangkitan tetapi tidak mematuhi SOP akan menyebabkan orang lain dijangkiti,” katanya. – Bernama

Kelihatan penduduk berehat di rumahnya ketika dalam proses kuarantin diri selepas menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Napoh berikutan terdapat kluster baharu iaitu Kluster PUI Sivagangga. – Bernama