Kluster Sivagangga: Dua kawasan di Perlis dikenakan TEMCO

KUALA LUMPUR, 10 OGOS – Dua kawasan di Perlis iaitu Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Secara Pentadbiran (TEMCO) bermula dari hari ini hingga 31 Ogos.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penguatkuasaan TEMCO itu melibatkan 191 buah rumah dengan 872 orang penduduk.

“Pelaksanaan TEMCO akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan beberapa ‘cut off’ jalan raya. Pergerakan keluar masuk oleh penduduk setempat atau penduduk dari luar kawasan TEMCO adalah dilarang,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mengesahkan 11 kes termasuk 10 kes baharu COVID-19 di Perlis berasal daripada  Kluster PUI Sivagangga di Kedah.

Ismail Sabri berkata premis perniagaan di bawah perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi di dalam kawasan TEMCO dan masa operasi dihadkan dari pukul 8 pagi sehingga 6 petang.

Selain itu katanya pergerakan di dalam kawasan TEMCO adalah dibenarkan dan bekalan makanan dibenarkan dibawa masuk ke kedai runcit yang berada di dalam kawasan terlibat. Menurutnya lagi semua pejabat kerajaan dan sekolah yang terletak di dalam kawasan berkenaan juga ditutup dan semua aktiviti keagamaan di masjid-masjid dihadkan secara bersyarat manakala semua rumah ibadat bukan Islam tidak dibenarkan beroperasi.

“Petugas KKM akan melakukan ujian saringan COVID-19 ke atas semua penduduk di dalam kawasan TEMCO,” katanya. – Bernama

Bashah Saad,74, berehat di halaman rumahnya ketika tinjauan penduduk di sekitar kampung Kuala Sanglang kelmarin berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di daerah itu. – Bernama