Kluster starlodge, 635 diisytiharkan tamat

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Dua kluster COVID-19 iaitu Kluster Starlodge dan Kluster 635 hari ini diisytiharkan tamat selepas tiada kes-kes baharu dikesan dalam masa 28 hari, manakala jumlah kes baharu ialah 109, menambahkan jumlah keseluruhan kes kepada 4,675 orang.

Manakala 25 pertambahan kes-kes baharu kepada 14 kluster aktif sedia ada daripada mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak rapat dengan beberapa kes positif sebelumnya.

Statistik itu dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media di Dewan ‘Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya lagi, empat kluster baharu juga direkodkan iaitu Kluster 4163 yang mengandungi tujuh kes baharu; Kluster 4329 yang mengandungi enam kes; Kluster 4571 yang mengandungi empat kes; dan Kluster 4360 yang mengandungi tujuh kes.

“Kesemua kluster-kluster baharu ini juga mengandungi kes-kes yang telah dilaporkan sebelum ini sebagai kes yang belum dikenal pasti sumber jangkitannya,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Yang Berhormat Menteri kesihatan semasa mengongsikan perkembangan terkini situasi jangkitan di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Dengan tamatnya Kluster Starlodge dan Kluster 635, maka jumlah kluster yang aktif pada masa ini ialah sebanyak 84. Manakala, terdapat 60 kes yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Dalam pada itu, 156 kes telah disahkan sembuh pada hari ini. Jumlah ini termasuk 20 kes positif dalam kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing. Kesemua mereka telah melakukan ujian swab ulangan pada hari ke-12 dan disahkan telah sembuh,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

Oleh itu, jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada sebanyak 3,144 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,502 kes.

Menurut Yang Berhormat Dato, dalam kalangan kes-kes aktif tersebut, 10 kes adalah dalam keadaan kritikal yang mana sembilan daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation). Manakala satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan heartlung machine (ECMO).

“Sementara itu, 25 kes lain yang dikategorikan dalam kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi,” tambahnya.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,566 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 291,437 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth.

Sebarang pertanyaan boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada [email protected]