KMB hulur sumbangan keperluan persekolahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Bagi mengurangkan beban mereka yang memerlukan, seramai 20 pelajar dari Sekolah Menengah (SM) Rimba dan SM Rimba II telah menerima sumbangan peralatan persekolahan daripada Kumpulan Meraih Barkah (KMB) semasa lawatan mereka ke sekolah berkenaan hari ini. Lawatan KMB tersebut diketuai oleh Hajah Florinda binti Haji Mejenis yang turut penyampaian sumbangan tersebut kepada 10 pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan dari SM Rimba.

KMB meneruskan lawatan mereka ke SM Rimba II dan diselajurkan dengan menyampaikan sumbangan berupa peralatan sekolah kepada 10 pelajar di sekolah tersebut. Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh salah seorang pelajar yang menerima diikuti dengan ucapan penghargaan oleh Pengetua SM Rimba II, Hajah Siti Khadijah binti Haji Damit. Dalam ucapan tersebut, beliau memuji langkah yang dibuat oleh KMB dalam keprihatinan mereka terhadap orang kurang bernasib baik dan berharap bahawa langkah mulia ini akan mendapat pahala dan berkat dari Allah SWT.

Sementara itu, Hajah Florinda dalam ucapannya mengucapkan terima kasih atas usaha KMB yang berterusan dalam membantu mereka yang memerlukan.

Beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada para pelajar yang menerima sumbangan agar sentiasa memberi tumpuan terbaik dalam pendidikan mereka.

Sumbangan tersebut merupakan aktiviti berterusan daripada hamba Allah dan individu kepada KMB untuk diserahkan kepada mereka yang memerlukan sejak 2014, di mana sebelum ini sumbangan dan wakaf juga diadakan di Sekolah Rendah Katimahar dan Sekolah Menengah Masin.

Antara sumbangan wakaf yang diberikan adalah berupa Al-Quran, sejadah, kipas elektrik, penghawa dingin, sumbangan untuk  pembaikan dewan dan tempat berwuduk.

Dengan adanya sumbangan ini, KMB berharap akan dapat melaratkan lagi aktiviti kebajikan berkenaan kepada mereka yang memerlukan.

Ahli KMB bergambar ramai bersama para pelajar yang menerima sumbangan berkenaan.