Ko juara Jelajah LPGA, dianugerah pemain terbaik

MIAMI, 22 NOV – Pemain Korea Selatan, Ko Jin-young melakukan sembilan birdie untuk mencatat sembilan di bawah par 63 kelmarin untuk memenangi Kejohanan Jelajah LPGA dan menewaskan Nelly Korda bagi anugerah pemain terbaik.

Kemenangan kedua berturut-turut Ko dalam perlawanan akhir musim adalah gelaran LPGA kelimanya pada tahun ini. Hadiah pemenang AS$1.5 juta itu melonjakkan pendapatan kerjayanya melebihi AS$9 juta.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku di luar sana,” kata Ko, yang telah bergelut dengan kecederaan pergelangan tangan kiri yang menjejas dan mengehadkan latihannya untuk sebahagian besar musim ini. “Minggu ini sangat mengagumkan.”

Ko dan Korda saling bertukar kedudukan nombor satu sepanjang musim, tetapi Korda yang menyertai acara itu di Kelab Golf Tiburon di Naples, Florida, mendahului ranking dan dengan pendahuluan tipis untuk merebut pemain terbaik tahunan. Kedua-duanya adalah antara empat pemain yang mendahului selepas aksi 54 lubang namun Korda yang berkongsi tempat kelima tidak dapat mempertahankan mahkotanya. Ko membuka dengan tiga pukulan birdie dalam empat lubang pertamanya untuk memulakan harinya. Dia menghabiskan jarak 30 kaki untuk meraih birdie keenamnya pada hari itu pada lubang kesembilan, merampas kelebihan empat pukulan. – AFP

Reaksi Ko Jin-young memegang pialanya selepas memenangi Kejohanan Jelajah Kumpulan CME kelmarin. – AFP