TOKYO, 8 DIS – Vissel Kobe dari Jepun menjuarai liga pada hari terakhir musim untuk meraih gelaran Liga Jepun kedua berturut-turut dan melengkapkan gelaran berganda domestik mereka.
Kobe, yang memenangi Piala Maharaja dua minggu lalu, memulakan hari tersebut dengan kelebihan satu mata di hadapan pencabar terdekat, Sanfrecce Hiroshima, dan mengesahkan gelaran dengan kemenangan dominan 3-0 di laman sendiri menentang Shonan Bellmare.
Hiroshima tewas 3-1 kepada Gamba Osaka, manakala Machida Zelvia di tempat ketiga, yang memasuki hari terakhir dengan peluang tipis untuk meraih gelaran dalam musim pertama mereka di liga utama, kalah 3-1 kepada Kashima Antlers.
Kobe juga berpeluang untuk layak ke peringkat liga Liga Juara-Juara Asia ketika mereka mengejar treble yang belum pernah dicapai.
“Kami telah bermain banyak perlawanan musim ini dan itu semua hasil setiap pemain dalam pasukan,” kata jurulatih Takayuki Yoshida.
“Kami telah memenangi dua gelaran dan kami sedang mara dalam saingan Liga Juara-Juara Asia.
“Saya menghargai kerja keras semua orang dalam pasukan, semua pemain dan kakitangan,” tambahnya.
Kobe memenangi Liga Jepun untuk pertama kalinya musim lalu, hampir lima bulan selepas legenda Sepanyol, Andres Iniesta meninggalkan kelab tersebut. – AFP