Kod kuning dibenarkan masuk tempat awam

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Orang ramai yang mempunyai kod hijau atau kuning dalam aplikasi BruHealth mereka adalah dibenarkan untuk masuk ke tempat-tempat awam.

“Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian di mana hanya pemegang kod hijau yang dibenarkan masuk ke masjid untuk mengerjakan sembahyang Fardu Jumaat pada masa ini dan semua warna kod adalah dibenarkan untuk masuk ke hospital atau klinik bagi tujuan untuk mendapatkan rawatan perubatan sahaja.”

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara berkenaan

berikutan banyak aduan yang diterima melalui Talian Nasihat Kesihatan 148 mengenai orang ramai yang mempunyai kod kuning dan tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam premis-premis, pejabat dan bangunan.

Pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menekankan bahawa pemilik-pemilik premis juga dikehendaki untuk membuat peme-riksaan suhu badan kepada semua pengunjung dan menyediakan pensanitasi tangan di pintu-pintu masuk.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham ketika sidang media harian di Kementerian Kesihatan. kelmarin. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.

Terdahulu, Yang Berhormat Dato memaklumkan bahawa tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di negara ini, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kekal seramai 141 orang.

Sementara itu, seramai 17 orang masih menjalani kuarantin, mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan seramai 2,806 orang telah menamatkan tempoh kuarantin serta dalam keadaan yang baik.

Beliau seterusnya mengongsikan bahawa dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 264 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 26,195 ujian.

Menyentuh mengenai aplikasi BruHealth, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa setakat ini seramai 390,834 ahli telah mendaftar ke dalam aplikasi tersebut.

Bagi syarikat dan premis pula sejumlah 9,817 telah mendaftar kepada aplikasi BruHealth. Manakala, sebanyak 5,326 premis perniagaan telah memuat turun aplikasi PremiseScan.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.