Kod QR untuk khidmat takeaway

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Kod QR berasingan untuk aplikasi BruHealth telah diperkenalkan bagi restoran-restoran yang menyediakan perkhidmatan bawa pulang (takeaway) yang boleh dibuat melalui www.healthinfo.gov.bn/register.

Dengan ciri baharu itu, maka orang ramai yang belum mendaftar adalah disyorkan untuk memuat turun dan mendaftar ke aplikasi BruHealth tersebut, saran Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam,yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menekankan orang ramai untuk bekerjasama dengan mendaftar aplikasi BruHealth serta mengimbas kod QR di tempat keluar masuk premis kerana ia sedikit sebanyak akan memastikan keselamatan orang ramai termasuk penjual dan pelanggan terjamin di samping memudahkan Kementerian Kesihatan untuk membuat pengesanan kontak sekiranya ada penularan jangkitan berlaku.

“Bagi pemilik premis dan peniaga-peniaga hendaklah juga memastikan orang ramai untuk mengimbas kod sebelum masuk ke dalam premis dan menegah mereka yang mempunyai kod merah, biru atau ungu untuk memasuki premis mereka.

“Sama-samalah kita saling ingat mengingati demi keselamatan kesihatan bersama,” ujar beliau.

Yang Berhormat Dato semasa sidang media itu turut mengemaskinikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 141 orang dengan tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan.

Selain itu, mereka yang sembuh kekal 136 dan belum ada kes baharu yang sembuh daripada COVID-19.

Menurut Yang Berhormat Dato, jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini juga kekal empat kes yang mana dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal.

“Walau bagaimanapun, hanya seorang sahaja yang masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan, manakala seorang lagi kini hanya memerlukan bantuan mesin pernafasan sahaja.

Selebihnya adalah dalam keadaan yang baik,” jelas Yang Berhormat Dato.

Menurutnya lagi, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, semua kontak kes yang telah menjalani kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 telah pun menamatkan tempoh kuarantin di mana jumlah keseluruhannya seramai 2,679 orang.

“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 183 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 18,193 ujian,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Pada sidang media itu juga Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan mengenai aplikasi BruHealth, yang mana setakat ini sejumlah 188,261 orang ramai telah mendaftar sebagai pengguna aplikasi tersebut.

Di samping itu juga, sejumlah 3,056 syarikat dan premis telah mendaftar kepada aplikasi tersebut.

Selain itu, Yang Berhormat Dato juga menyentuh mengenai runners yang mana Kementerian Kesihatan juga telah menerima laporan dan mendapati beberapa runners yang masih tidak mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan seperti tidak memakai penutup mulut dan hidung, sarung tangan, kelengkapan perlindungan diri (PPE) iaitu, apron, baju hujan atau ponco semasa mengendalikan barangan.

“Di sini diingatkan bahawa sesiapa yang didapati tidak mengikuti garis panduan ini boleh diambil tindakan undang-undang di samping kebenaran permit mereka dibatalkan,” tekannya lagi.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth atau healthinfo.gov.bn.