Kodok beracun ditemui di Sydney

SYDNEY, 18 JULAI – Kodok beracun yang boleh didapati dengan meluas di kawasan utara Australia telah ditangkap berhampiran Sydney, mencetuskan kebimbangan spesis itu mungkin sedang menyesuaikan diri dengan cuaca yang lebih sejuk dan sedang tersebar ke kawasan selatan, sekali gus mengancam hidupan liar unik dalam negara.

Sebuah keluarga tempatan menangkap kodok jantan dewasa kira-kira 50 kilometer dari utara Sydney pada Selasa, kali pertama spesis tersebut ditemui liar di kawasan itu, kata Taman Reptilia Australia.

Kodok itu mempunyai bisa amat beracun yang membunuh pemangsa yang cuba memakan mereka, menyebabkan kemerosotan teruk dalam jumlah hidupan liar asli di timur laut Australia.

Penyokong pemuliharaan bimbang haiwan perosak yang mudah menyesuaikan diri itu, diperkenalkan dari Amerika Tengah pada 1935 untuk mengawal kumbang dalam ladang tebu, mungkin menyesuaikan diri dengan iklim di tenggara Australia di tengah musim sejuk.

“Jika cuaca lebih panas untuk tempoh masa yang lebih lama, jelasnya ia akan mendatangkan kebaikan kepada kodok,” beritahu pengurus Taman Tim Faulkner kepada AFP. – AFP