Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Kodok Ecuador memecah kesunyian selepas 100 tahun

    QUITO – Ahli biologi Ecuador, Jorge Brito sedang meredah hutan apabila dia mendengar bunyi yang disangkanya sebagai bunyi cengkerik.

    Malahan yang ditemuinya telah mengubah kepercayaan saintifik.

    “Pada mulanya saya fikir ia adalah sejenis cengkerik di luar sana membuat bunyi, tetapi kemudian saya dengar betul-betul,” kata Brito, dari institut biodiversiti kebangsaan Ecuador.

    Ia sebenarnya adalah sejenis kodok coklat dengan kulit kasar yang dipanggil Rhinella festae yang mempunyai hidung yang menonjol dan telah dianggap bisu sejak ia pertama kali ditemui 100 tahun lalu.

    “Walaupun ia tidak mengembang kantung vokalnya, awda boleh melihat kerlipan kecil di dagunya,” kata Brito.

    Dia menangkapnya dan membawanya ke makmal untuk menyelidik dengan rakan sekerjanya, Diego Batallas.

    “Kali pertama saya mendengarnya, saya berkata: Wah, itu bukan bunyi kodok, ia seperti burung kecil,” kata Batalla kepada AFP.

    Kodok tersebut yang berukuran antara 45 dan 68 milimeter panjangnya, habitatnya di kawasan pergunungan Ecuador di Cutucu dan Condor, menjangkau sempadan ke wilayah Amazon Peru.

    Penemuan itu pertama kali dilaporkan pada bulan Februari dalam majalah Neotropical Biodiversity, di mana Brito dan Batallas menggambarkan bunyi yang dihasilkan oleh kodok itu.

    “Ia adalah kali pertama lagu unik Rhinella festae ini dirakam dan ia mengejutkan kerana ia tidak sepatutnya menyanyi,” kata Batallas kepada AFP.

    Kodok tidak mempunyai karung vokal yang membolehkan kebanyakan amfibia menguatkan panggilannya supaya ia boleh didengari sehingga satu kilometer jauhnya.

    “Hakikat spesies ini boleh menyanyi (tanpa karung vokal) menjadikannya unik,” tambah Batallas, yang pernah menyanyi dalam koir.

    Batallas berkata bahawa bunyi samar yang dikeluarkan oleh Rhinella festae menunjukkan bahawa sesetengah spesies amfibia boleh berkembang sedemikian rupa, mungkin sebagai langkah anti-pemangsa agar lagu yang dikeluarkannya tidak didengari dari jauh.

    Dalam kes Rhinella festae, ia mengeluarkan bunyi sebagai ucapan, manakala spesies lain kodok sebagai sebahagian daripada upacara mengawan atau sebagai amaran.

    “Ia adalah bunyi yang sangat halus dan sangat sukar untuk didengar secara semula jadi.”

    Ecuador telah mendaftarkan 658 spesies amfibia yang berbeza, di mana 623 adalah kodok atau katak dan hampir 60 peratus daripadanya berisiko atau terancam disebabkan hampir pupus.

    Hanya Brazil dan Colombia mempunyai lebih banyak spesies amfibia daripada Ecuador. -AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...