Koeman ambil alih ‘jawatan impian’

MADRID, 19 OGOS – Ronald Koeman bakal dilantik untuk menjawat jawatan impiannya di Barcelona selepas presiden gergasi Catalan, Josep Maria Bartomeu mendedahkan kelmarin bahawa pengurus Belanda itu akan menjadi jurulatih yang seterusnya.

Bekas bintang Barca, Koeman yang masih mengendalikan pasukan kebangsaan Belanda sejak 2018, akan menggantikan Quique Setien, yang telah dipecat oleh Barcelona selepas kekalahan yang memalukan 8-2 ke atas Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara suku akhir pada Jumaat lalu.

“Koeman akan menjadi jurulatih Barcelona musim depan,” Bartomeu memberitahu rangkaian siaran televisyen.

“Jika tiada sebarang masalah, Koeman akan diumumkan sebagai jurulatih dan akan memacu pasukan dan pemain dengan projek yang berbeza.

“Dia adalah seseorang yang diketahui oleh penyokong bukan sahaja sebagai seorang pemain bahkan sebagai seorang pengurus.”

Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu mendedahkan Ronald Koeman akan dilantik menjadi pengurus Barcelona yang seterusnya. – AFP

Menurut laporan, Koeman dan ejennya sedang dalam perundingan mengenai kontrak selama dua tahun pada Isnin lalu, dengan tahun kedua tertakluk kepada keputusan pemilihan presiden.

Koeman merupakan wira di Barca selepas menyinar dalam ‘Pasukan Impian’ Johan Cruyff, yang telah memenangi kejuaraan La Liga berturut-turut di antara tahun 1991 dan 1994.

Dia telah menjaringkan gol kemenangan pada aksi final Piala Eropah pada tahun 1992 – kejayaan pertama kelab Catalan dalam kejohanan utama Eropah.

Koeman pernah berkata bahawa menjadi jurulatih Barcelona akan menjadi ‘jawatan impian’ dan akan meninggalkan pasukan kebangsaan selepas dua tahun setengah menjadi jurulatih demi merebut peluang keemasan.

Kariernya sebagai jurulatih telah bercampur-baur dan dia akan tiba bersama kelab Catalan yang mempunyai krisis.

Setien telah dipecat Isnin lalu selepas keputusan memalukan ketika menentang Bayern Munich dan ini bermakna Barca telah menghabiskan musim ini tanpa menjulang sebarang trofi buat kali pertama sejak 2007.

Kelmarin, pengarah sukan, Eric Abidal telah dipecat dan menerima padah akibat kekalahan ke atas Bayern dan konflik dalaman yang mengambil tempat semasa musim liga yang menyaksikan mereka terlepas kejuaraan La Liga kepada Real Madrid. – AFP